Segmen ternakan jejas keuntungan MFM bagi FY18

Segmen ternakan jejas keuntungan MFM bagi FY18

Malayan Flour Mills Bhd (MFM) mencatat keuntungan lebih rendah bagi tahun kewangan berakhir 31 Dis, 2018 (FY18) berikutan kerugian operasi membabitkan usaha sama serta segmen perniagaan penternakan bersepadu syarikat itu.

Keuntungan bersih pengilang tepung dan penternakan ayam itu susut kepada RM17.78 juta daripada RM68.57 juta yang dicatatkan pada FY17 walaupun perolehannya meningkat sebanyak 0.9 peratus kepada RM2.42 bilion.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, MFM berkata segmen ternakan bersepadunya mencatatkan kerugian operasi sebanyak RM0.9 juta pada FY18 berbanding keuntungan operasi sebanyak RM37.1 juta pada tahun sebelumnya.

Prestasi itu sebaliknya berbeza dengan segmen perniagaan tepung dan bijirin yang merekodkan keuntungan operasi sebanyak 3.6 peratus kepada RM65.9 juta.

Harga ayam yang lebih rendah turut menjejaskan keuntungan operasi perniagaan ternakan sebanyak RM18.4 juta pada FY18 selain pelarasan penurunan harga saksama RM16.6 juta ke atas aset biologikal.

MFM berkata prestasi itu juga dijejaskan oleh penyusutan jumlah pengeluaran ayam pedaging berikutan kontrak ladang yang berkurangan pada tahun itu akibat penyakit hepatitis yang memberi kesan terhadap penghasilan anak ayam baru menetas (DOC) dan prestasi ayam pedaging bagi sebahagian besar tempoh 2018 tersebut.

Bagaimanapun, katanya, jumlah pengeluaran DOC itu kembali pulih menjelang suku ketiga FY18.

Selain itu, MFM turut mengalami kerugian sebanyak RM6.9 juta membabitkan usaha sama ekuiti di Indonesia pada tahun itu berbanding keuntungan sebanyak RM7.8 juta pada FY17.

Ini berikutan margin lebih rendah akibat aktiviti persaingan di pasaran serta penyusutan nilai rupiah berbanding dolar US.

Bagi suku keempat FY18, keuntungan bersih MFM meningkat kepada RM16.6 juta berbanding RM4.0 juta pada tahun sebelumnya manakala perolehannya turut bertambah kepada RM669.54 juta daripada RM591.21 juta sebelum ini.

Mengulas prospek, syarikat itu berkata faktor seperti harga komoditi dan kadar pertukaran asing kekal lemah dalam persekitaran ekonomi global yang tidak menentu.

“Walaupun berdepan cabaran dan masalah pada 2018, pihak Lembaga Pengarah sebaliknya  menjangkakan prestasi kumpulan akan meningkat secara ketara pada 2019 berikutan beberapa langkah yang dilaksanakan oleh pihak pengurusan.

“Ini termasuk peningkatan harga dagangan tepung dan bijirin bagi melindungi margin kami yang telah susut,” katanya.

Syarikat itu juga optimis prestasi dagangan tepung dan bijirin itu akan meningkat berikutan pertumbuhan jumlah jualan lebih tinggi dan usaha bagi menambah baik kualiti dedak.

Pada masa sama, jumlah pengeluaran DOC dan ayam pedaging juga akan dipertingkatkan manakala kos pengeluaran dapat dikurangkan menerusi nisbah pemakanan lebih baik berbanding kematian ternakan terbabit, kata MFM.

— BERNAMA