Sehari boleh jual 400 hidangan, rakyat Malaysia raih pendapatan lumayan jual nasi lemak di Shanghai

Oleh KIM SYAZIE

Seorang lelaki dari Kuala Lumpur berjaya memperkenalkan menu warisan rakyat Malaysia iaitu Nasi Lemak dengan membuka sebuah restoran makanan Malaysia di Shanghai, China.

Lelaki yang dikenali sebagai Shah itu difahamkan adalah seorang chef sebelum membuka restoran Secret Flavor di Shanghai.

Chef Shah berkata, rakyat Shanghai amat menyukai Nasi Lemak selepas diperkenalkan kepada mereka dan dia sendiri mampu menjual lebih 400 hidangan satu hari.

Dia juga menggunakan tagline ‘One Coconut One Rice’ untuk menarik perhatian masyarakat luar dengan makanan tradisi rakyat Malaysia.

“Dalam satu hari saya boleh menjual lebih 400 hidangan termasuk pesanan melalui penghantaran.

“Orang Shanghai sekarang sangat suka Nasi Lemak kerana saya ajar mereka macam mana mahu menikmati hidangan ini.

“Saya juga buat video pendek untuk memperkenalkan mereka kepada negara saya, Malaysia dan cerita di sebalik hidangan Nasi Lemak,” katanya dalam satu video dimuat naik pengguna TikTok EatAi.

Chef Shah yang sudah 15 tahun menetap di China berkata, kesemua barang mentah yang digunakannya diperoleh dari pembekal yang disahkan halal.

Menurutnya, tidak sukar mendapatkan pembekal yang halal memandangkan lebih 20 juta umat Islam menetap di negara tembok besar itu.

Di Shanghai sahaja, mereka mempunyai 7 buah masjid.

Perkongsian individu tersebut mengenai Nasi Lemak air tangan rakyat Malaysia di Shanghai menarik perhatian ramai yang rata-rata terkejut kerana orang luar juga menggemari makanan tradisi rakyat negara ini.

Mereka juga memuji persembahan makanan yang dihidang, menganggap ia memang wajar digemari penduduk di sana.

Baca juga: “Aku turun pangkat lepas hamil lima bulan, suami tiba-tiba berubah siap tidur di ruang tamu!”