Malaysia Dateline

Sehari selepas bersalah, Isa Samad bayar baki wang jaminan RM700,000

Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad hadir sekali lagi ke Mahkamah Tinggi hari ini bagi membayar baki wang ikat jamin sebanyak RM700,000.

Kehadiran bekas Pengerusi FELDA itu pagi tadi ditemani isteri, Puan Sri Bibi Sharliza Mohd Khalid, selaku penjamin.

Semalam, Mohd Isa yang juga dikenali sebagai Isa Samad didapati bersalah atas sembilan tuduhan rasuah RM3 juta berkaitan pembelian Merdeka Palace Hotel & Suites di Kuching.

Isa Samad, 72, hadir memakai kemeja biru, dilihat tenang dan sempat melemparkan senyuman kepada petugas media yang menunggu kehadirannya seawal jam 9 pagi.

Bekas Pengerusi Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) itu kemudiannya dilihat menuju ke kaunter Pendaftaran Jenayah Mahkamah Tinggi dan beredar meninggalkan Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur sejurus selesai urusan jaminan pada jam 1.52 tengah hari.

Dalam masa sama, Isa Samad turut memfailkan rayuan berhubung sabitan itu pada jam 11 pagi di Mahkamah Tinggi.

Semalam, Hakim Mahkamah Tinggi Mohd Nazlan Mohd Ghazali, membenarkan penangguhan pelaksanaan hukuman penjara dan denda sehingga pelupusan rayuan kes dan menaikkan jumlah jaminan kepada RM1.5 juta daripada RM800,000.

Isa Samad dijatuhi hukuman penjara masing-masing enam tahun bagi sembilan pertuduhan selepas mahkamah mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah.

Bekas pemimpin veteran Umno itu didakwa atas sembilan pertuduhan menerima suapan untuk dirinya berjumlah RM3.09 juta daripada Ikhwan Zaidel iaitu Ahli Lembaga Pengarah Gegasan Abadi Properties Sdn Bhd (GAPSB) menerusi bekas pegawai politik khas beliau ketika itu, Muhammad Zahid Md Arip.

Suapan itu sebagai tanda terima kasih kerana membantu meluluskan pembelian hotel oleh FELDA Investment Corporation Sdn Bhd (FICSB) pada harga RM160 juta.

Semua kesalahan itu didakwa dilakukan di Tingkat 49, Menara Felda, Platinum Park, No. 11, Persiaran KLCC di sini antara 21 Julai 2014 dan 11 Disember 2015.

Pertuduhan terhadapnya dibuat mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24(1) akta sama, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana lebih tinggi.