Malaysia Dateline

Sehari selepas masuk IJN, Hadi tegur makhluk perosak berbelanja besar untuk perang siber

Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang hari ini menegaskan pada zaman media baru terkini, manusia yang rakus menjadi makhluk perosak dan sanggup berbelanja besar dengan mengambil tugas iblis.

Katanya, terdapat juga golongan yang bermatlamat mencari kesenangan dengan mendapat upah yang lumayan semata-mata untuk mengisi perut dan mendapatkan segala kemewahan daripada rezeki yang haram untuk diri dan keluarganya.

“Mereka mengambil peluang daripada dunia yang langitnya terbuka tanpa sempadan, bagi melancarkan peperangan baharu ‘cyber war’ terhadap negara dan umat yang besar.

“Dengan menggunakan jumlah anggota tentera upahan yang diletakkan di seluruh dunia dengan bayaran yang lumayan, sama ada dalam negara dan juga luar negara dengan bebas,” tegasnya.

Duta Khas Perdana Menteri ke Timur Tengah itu berkata demikian dalam Minda Presiden bertajuk “Perang siber: Pemberitaan yang merosakkan” sehari selepas dimasukkan ke Institut Jantung Negara (IJN).

Terdahulu, Ahli Parlimen Marang berkenaan dilaporkan menerima rawatan di IJN untuk tempoh beberapa hari.

Abdul Hadi selanjutnya menyeru agar berhati-hati dalam menerima atau menyebarkan apa-apa maklumat kerana ada berita daripada orang fasiq atau orang jahil yang boleh menyesatkan dan merosakkan manusia.

“Golongan fasiq ialah mereka yang tidak berpegang kepada agama dan moralnya sangat rapuh sehingga tidak bermaruah.

“Mereka boleh melakukan apa sahaja termasuk menyebarkan berita bohong atau fitnah,” tegasnya.

Dalam masa sama, bekas Menteri Besar Terengganu sepenggal itu juga mengingatkan sesuatu berita yang benar tetapi disampaikan secara tidak lengkap tetap akan merosakkan penerima mahupun pemberinya sama ada untuk jangka pendek dan panjang.

Untuk rekod, kali terakhir Hadi dimasukkan ke IJN untuk pemeriksaan susulan kesihatan ialah pada 1 April lalu dan diarahkan doktor supaya berehat.

Dia juga sebelum ini dimasukkan ke Hospital Putrajaya selepas dilaporkan mengalami sesak nafas dan dipindahkan ke IJN untuk rawatan lanjut pada 15 Februari lalu, sebelum dibenarkan pulang empat hari kemudian.