
Seiring pertambahan kuota, tingkatkan kemudahan jemaah haji
ULASAN: Baru-baru ini dilaporkan kuota rasmi haji untuk Malaysia, tahun ini (1441 Hijrah), meningkat kepada 31,600 berbanding 30,200 jemaah pada tahun lalu. Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof, penambahan kuota 1,400 orang itu adalah hasil rundingan Kerajaan Malaysia, khususnya melalui Lembaga Tabung Haji (TH) dengan Kerajaan Arab Saudi.
Saya pasti ini merupakan satu berita yang ditunggu-tunggukan bakal haji dari Malaysia yang masih dalam senarai menunggu. Kita tahu saban tahun pasti ramai rakyat Malaysia yang sentiasa berharap untuk terpilih menunaikan rukun Islam kelima ini iaitu menunaikan haji di Baitullah tetapi atas faktor kuota yang terhad yang telah ditetapkan oleh kerajaan Arab Saudi maka terpaksalah ramai yang menunggu walaupun wang dalam simpanan sudah mencukupi. Tahniah kepada YB Menteri dan pasukannya.
Satu lagi berita baik kepada bakal jemaah haji adalah dengan dikhabarkan khemah untuk jemaah haji ketika wukuf di Arafah juga akan dinaik taraf kepada kemudahan yang lebih moden dan selesa. Jelas di sini, kerajaan Malaysia sentiasa prihatin dengan kebajikan dan kemudahan yang bakal dinikmati oleh bakal-bakal haji Malaysia dan saya yakin rundingan antara kerajaan Malaysia dengan Arab Saudi sentiasa berlaku demi menjamin kemudahan serta keselesaan rakyat Malaysia di musim haji nanti.
Tahun lepas saya berpeluang dipilih Allah SWT untuk bersama-sama jemaah haji yang lain menunaikan ibadah ini di Tanah Suci dengan merasai kemudahan yang disediakan oleh Tabung Haji bersama jemaah yang lain. Saya berhasrat mencadangkan beberapa penambahbaikan oleh Tabung Haji untuk dipertimbangkan bagi menambah keselesaan dan kemudahan jemaah haji Malaysia nanti.
Saya berpandangan, antara cadangan yang boleh diketengahkan adalah menambah kemudahan untuk mandi dengan disediakan tempat mandi secara ramai dengan disediakan kolah-kolah untuk digunakan secara beramai-ramai. Saya melihat keperluan kolah ini adalah apabila pengalaman saya melihat jemaah yang menggunakan tandas untuk mandi terpaksa mengambil masa yang agak lama kerana disekalikan dengan membuang air yang akhirnya menyebabkan jemaah lain yang berhajat untuk membuang air sahaja terpaksa menunggu lama di luar.
Dengan diwujudkan kolah-kolah ini saya yakin dan pasti dapat menjimatkan masa kepada jemaah haji untuk menunggu giliran menggunakan tandas serta dapat memudahkan jemaah untuk mandi, mengambil wuduk serta melaksanakan keperluan lain seperti memberus gigi di luar daripada tandas sahaja. Jika diadakan kolah-kolah dengan kapasiti sebuah kolah boleh digunakan sekurang-kurangnya 50 orang dalam satu masa, maka boleh dianggarkan betapa jimat masa yang diambil untuk menyelesaikan keperluan mandi tersebut dan jemaah lebih banyak masa untuk menumpukan kepada ibadah yang lain.
Saya juga melihat, jika diadakan kolah air untuk mandi ini tidak memerlukan kos yang terlampau besar kerana terdapat pelbagai alat yang boleh digunakan untuk dijadikan kolah mandian tersebut sama ada dengan diletakkan kolam sementara yang diperbuat daripada plastik atau pvc sahaja mahupun bahan-bahan lain yang mudah di alih tempat. Saya percaya jika cadangan ini diambil perhatian pihak tertinggi pengurusan Lembaga Tabung Haji, sudah pasti mereka mempunyai idea yang lebih baik dan bernas untuk jenis bahan yang ingin digunakan dalam mewujudkan kolah air mandian itu kerana kita sedia maklum Tabung Haji kini ditadbir urus dari kalangan profesional dan tokoh-tokoh berpengalaman dalam pelbagai bidang.
Besar harapan saya untuk melihat musim haji tahun ini menjadi musim yang terbaik berbanding musim-musim yang lepas. Biarlah setiap jemaah haji yang pergi menunaikan haji di Tanah Suci nanti akan sentiasa membawa khabar yang baik sahaja apabila pulang ke tanah air semula nanti dan prestasi Tabung Haji sebagai agensi pengurusan ibadah haji yang antara terbaik di dunia sudah pasti tidak akan mengecewakan bakal-bakal tetamu Allah nanti.
* Datuk Mohd Sofi Abdul Wahab adalah Timbalan Pengerusi Majlis Agama Islam Melaka (MAIM)