Malaysia Dateline

Sejadah pakai buang untuk musafir

Masjid Negeri Sultan Ahmad 1 di Kuantan Pahang menyediakan sejadah pakai buang bagi kegunaan musafir untuk menunaikan solat.

Imam Besar Masjid Negeri, Datuk Badli Shah Aladdin berkata, sejadah itu disediakan khusus untuk musafir sejak minggu lalu bagi kemudahan mereka menunaikan solat.

Sejadah diperbuat daripada bahan ‘Nonwoven Polypropylene’ (NWPP) yang mesra alam itu adalah sumbangan daripada dermawan dan jemaah masjid berkenaan.

Katanya, idea ini timbul selepas melihat keperluan jemaah yang kebanyakannya dalam kalangan musafir tidak membawa sejadah sendiri.

“Kalau sebelum ini, pihak masjid hanya menyediakan kemudahan seperti menjual sejadah baharu kepada jemaah dengan kadar bayaran minimum RM10 ringgit dan menawarkan sejadah terpakai kepada mereka yang tidak membawa sejadah.

“Tapi kini, kita menyediakan sejadah pakai buang atau ‘single use’ kepada musafir yang datang dan mahu mengerjakan solat di masjid terbabit.

Inovasi ini kita ambil daripada masjid di Turki dan Istanbul memandangkan kedua-dua negara ini, banyak menyediakan kemudahan sedemikian kepada para pelancong yang datang ke sana,” katanya ketika ditemui di Masjid Negeri Sultan Ahmad 1 di sini pada Jumaat, lapor Sinar Harian.

Dalam pada itu, beliau menjelaskan, setakat ini hanya masjid negeri sahaja mengguna pakai kaedah itu dan ia masih belum diperluaskan ke masjid atau surau di Pahang.

Bagaimanapun katanya, melihat kepada situasi kini dengan pandemik Covid-19, penggunaan sejadah ini dilihat menjadi satu keperluan.

“Setakat ini, kita adalah masjid yang pertama menggunapakai kaedah ini kerana masjid ini sering dikunjungi ramai pelancongan berbanding di masjid-masjid lain.

“Dalam keadaan pandemik Covid-19 ini kita perlu mengambil pendekatan berbeza bagi memudahkan urusan musafir untuk menjalani ibadah mereka ketika berkunjung ke sini,” katanya.