Malaysia Dateline

Sejak Hadi jadi Duta Khas PM, empat negara Arab iktiraf Israel

Empat negara Arab mengiktiraf Israel hanya dalam tempoh lapan bulan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dilantik sebagai Duta Khas Perdana Menteri ke Asia Barat bertaraf menteri.

Empat negara itu ialah Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada 13 Ogos 2020 diikuti Bahrain (15 September), Sudan (23 Oktober) dan Morocco pada 10 Disember tahun lalu.

“Duta Khas PM tak berperanan? Senyap sepi… gaji jalan,” tulis aktivis politik yang juga bekas Setiausaha Eksekutif Pas, Malek Hussin di Twitter hari ini.

Untuk rekod, Pejabat Perdana Menteri pada 2 April 2020 mengumumkan Tan Sri Muhyiddin Yassin bersetuju melantik Abdul Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang ke jawatan itu.

Abdul Hadi yang juga bekas Naib Presiden Kesatuan Ulama Muslimin Sedunia pernah bergelar Menteri Besar Terengganu sepenggal antara 1999 hingga 2004.

Bahrain sebelum ini menyatakan perjanjian memulihkan hubungan diplomatik dengan Israel akan melindungi kepentingan negara itu.

Dalam masa sama, Bahrain menganggap deklarasi itu tidak bertentangan dengan kedudukannya mengenai inisiatif perdamaian Arab dan keputusan legitimasi antarabangsa.

Sebelum ini, Mesir menjalinkan hubungan diplomatik dengan Israel pada 1979 manakala Jordan mengambil langkah itu pada 1994.

Perjanjian itu bagaimanapun mendapat kecaman besar-besaran daripada rakyat Palestin yang menyifatkannya sebagai tidak membantu menangani isu Palestin dan mengabaikan hak mereka.

Menurut pihak berkuasa Palestin, sebarang perjanjian dengan Israel mesti berdasarkan prinsip Inisiatif Damai Arab 2002, iaitu ‘tanah untuk perdamaian’ dan bukan ‘berdamai untuk perdamaian’ seperti yang dituntut oleh Israel.