Sejak mula berlakon sampai sekarang Beto tak pernah ada kelab peminat tapi ‘job’ tak pernah putus

Oleh KIM SYAZIE

Perlu diakui kebanyakan artis senior tanah air tidak memerlukan kebergantungan terhadap kelab peminat untuk menempa nama dalam industri seni tanah air.

Dengan bakat dan pengaruh baik yang dijaga, tidak hairan segelintir artis berpengalaman masih dihujani tawaran berlakon.

Seperti nama besar ini, Beto Kusyairy atau nama sebenar Nurkusyairy Zakuan Osman, 44, dia mengakui selama ini tidak pernah mempunyai kelab peminat.

Beto pernah memenangi trofi Aktor Filem Popular di Anugerah Bintang Popular BH Ke-35 (ABPBH 35) tahun lalu.

Beto memaklumkan dia tidak mengimpikan sebuah kelab peminat dan hanya mahu sokongan baik diberikan penonton kepada semua filem lakonannya.

“Sejak saya mula berlakon sampai sekarang, saya tiada kelab peminat dan tidak mahu ia ditubuhkan oleh sesiapa. Saya langsung tak pernah terfikir untuk ada kelab peminat sendiri. 

“Malah, saya juga sudah menghebahkan dalam media sosial supaya tidak ada pihak yang cuba menubuhkan kelab peminat saya.

“Tetapi, kalau ada juga yang nak tubuhkan, mohon jangan sesekali babitkan saya. Sebab saya takut kalau ada yang ambil kesempatan guna nama saya dan jalankan aktiviti mereka dengan meminta bayaran,” katanya memetik laporan Harian Metro semalam.

Menurut Beto, dia kini amat sibuk dengan kerja di set penggambaran dan bimbang sekiranya ada kelab peminat, dia tidak dapat memberikan komitmen untuk hadir dalam majlis dan aktiviti yang diatur.

Sementara itu mengenai karier lakonan terbarunya pula, Beto teruja membawakan watak Meor iaitu pengasas Silat Seni Gayong di Malaysia, Allahyarham Datuk Meor Abdul Rahman dalam filem Gayong terbitan Sol Pictures dan arahan Faisal Ishak.

Katanya, dia gementar dengan watak itu (Meor), tetapi satu penghormatan juga kerana sudah belajar silat sejak kanak-kanak ketika berusia tujuh tahun. Jadi, Beto juga tidak sabar untuk bersilat dalam filem.

Baca juga: Anak harap bapa ada pusara macam orang lain, ini kronologi kehilangan Sabari Baharom