Malaysia Dateline

Sejarah kerjasama yang manis di PRK P.176 Kimanis

ULASAN : PRK P.176 Kimanis sama seperti beberapa siri pilihan raya kecil yang sudah pun berlangsung khususnya sejak PRU14, 9 Mei 2018 yang lepas.

Bagi jentera pilihan raya parti, ia adalah peluang untuk bersimulasi dan melatih tubi kemahiran masing-masing mengikut portfolio yang mereka diamanahkan.

Demikian, kepada kepimpinan jentera pilihan raya pula, ia adalah ruang dan peluang melihat secara lebih dekat pelbagai persoalan teknikal dan taktikal yang perlu diberikan perhatian dan tumpuan.

Sekaligus mengenalpasti sosok-sosok jentera yang komited dan punya potensi untuk terus diperkasakan.

Latihan sebegini adalah jauh lebih berkesan dan relevan berbanding latihan-latihan ciptaan yang terpaksa diwujudkan dalam usaha memberi kefahaman kepada seluruh anggota khususnya jentera pilihan yang kita ada di semua peringkat di seluruh negara.

Seperkara yang amat manis dalam PRK P.176 Kimanis ini adalah kejayaan AMANAH dalam sedikit sebanyak menyusun kepimpinan jentera pilihan raya Amanah Negeri Sabah merangkumi Jentera Wanita (AWAN), Pemuda dan Kawasan-Kawasan. Sekaligus membantu mewujudkan kerjasama di antara mereka dengan jentera parti-parti komponen PH dan Warisan yang lain di peringkat lokal negeri Sabah.

Kerjasama yang sudah terbentuk, terpupuk dan terjalin ini wajar diteruskan dengan cemerlang. Ia akan dapat menjadi ramuan dan formula kekuatan paling berkesan bagi Warisan dan Pakatan Harapan untuk mengisi kemenangan. Seterusnya memanfaatkan peranan secara kolektif sebagai sebuah Kerajaan, sama ada di peringkat Persekutuan mahupun Negeri.

Saya yakin dan percaya, ruang PRK ini juga telah berjaya mewujudkan perasaan kekitaan di antara parti-parti komponen, sekaligus mengurangkan jurang perbezaan di antara satu dengan yang lain.

Dalam mana-mana perjuangan, apatah lagi serumit dan sekompleks kerjasama politik itu, perasaan kebersamaan, kekitaan dan saling percaya dengan binaan setiakawan yang kukuh adalah sangat penting.

Ia tidak terbina sekelip mata dan tidak juga bergantung dengan persefahaman hanya di peringkat tinggi kepimpinan.

Tetapi yang lebih utama adalah perasaan saling memahami, saling menghormati dan saling mempercayai di antara pasukan di segenap peringkat organisasi serta struktur jentera pilihan raya parti keseluruhannya.

Alhamdulillah, KIMANIS menjadi sejarah manis permulaan sebuah kerjasama yang lebih kolektif, konstruktif dan responsif di antara kita semua dalam Pakatan Harapan – Warisan dan UPKO.

Bagi pihak parti, saya ucapkan syabas dan tahniah kepada seluruh kepimpinan dan jentera pilihan raya AMANAH dari seluruh negara yang komited turun membantu. Tahniah dan terima kasih juga kepada khususnya Pengerusi AMANAH Negeri Sabah, Ketua Sayap-Sayap Amanah Negeri dan Kawasan-Kawasan yang terlibat menyusun gerakerja dan menghantar pasukan.

Tahniah juga khusus daripada saya kepada Pengarah Pilihan Raya Amanah Negeri Sabah, Harieyadi dan Penyelaras-Penyelaras Jentera Wanita dan Pemuda yang sentiasa siap untuk menjalankan tugas sambil giat belajar perkara-perkara baharu daripada kakak-kakak dan abang-abang pimpinan jentera pilihan raya dari Semenanjung. Kerjasama yang akrab jelas terzahir dan tersulam indah dengan semangat kerjasama dan ukhuwwah memposisikan Amanah dalam setiakawan tanpa nokhtah.

Tidak dilupakan, ucapan terima kasih ini saya tujukan khusus kepada YB Puan Jannie (Ketua Wanita PH Sabah merangkap Ketua Wanita DAP Sabah) dan Majlis Pimpinan Wanita PH Negeri, Datuk Hjh Azizah Dun Banir (Ketua Wanita PPBM), Puan Rahima Majid (Ketua Wanita PKR), Datuk Hjh Aminah (Ketua Wanita Warisan) dan Puan Rowindy (Ketua Wanita UPKO) serta semua pasukan kerja wanita di semua peringkat.

Meskipun, kita masih belum berjaya merampas kerusi P.176 Kimanis, namun ada kejayaan yang lebih manis dan bermakna untuk kita berbanding itu. Iaitulah persaudaraan, kekitaan, kebersamaan, persefahaman yang segalanyanya terangkum membenihkan semangat SETIAKAWAN.

Terima kasih kepada seluruh penduduk dan warga pengundi Parlimen Kimanis.

Meskipun Warisan belum berjaya memenangi Parlimen Kimanis, namun inshaaAllah dua ADUN, Warisan dan PPBM (PH) yang berada di situ akan meneruskan khidmat kepada saudara-saudari dengan penuh cemerlang.

Penulis adalah Ketua Wanita AMANAH Nasional meranngkap Timbalan Biro Pilihan Raya AMANAH.