Sejarah perang di Gunung Pulai aset Tahun Melawat Johor 2020

Sejarah perang di Gunung Pulai aset Tahun Melawat Johor 2020

Mungkin terlindung di sebalik tebalnya hutan di kawasan gunung membuatkan ia tidak terpamer di mata pengunjung yang mendaki gunung tersebut. Di selatan Johor, Gunung Pulai popular sebagai destinasi riadah serta penuh dengan aktiviti pendakian.

Gunung berketinggian 654 meter dari paras laut ini menyimpan banyak kisah yang penting. Cerita berkenaan sejarah yang terjadi di tanahair ini sehingga apabila diketahui, maka kita akan dapat merasakan ianya penting untuk dimartabatkan.

Diyakini gunung tersebut mengandungi pelbagai artifak tinggalan perang yang dipercayai dari Perang Dunia Kedua. Dapat disaksikan terdapat kesan-kesan sejarah yang masih lagi wujud di kawasan berkenaan.

Menurut pandangan orang tempatan, gunung itu adalah salah sebuah kubu kuat tentera British dan pertempuran antara pihak Jepun dan British juga pernah berlaku di situ.

Ianya sebuah khazanah yang terlalu berharga dan dapat dipastikan masih terdapat tinggalan binaan seperti rel kereta api, lapangan terbang, gua persembunyian, tembok penahan air, kubu, cebisan badan kereta kebal dan banyak lagi.

Ini menggambarkan betapa penting sejarah sebegini perlu diangkat kembali bagi membawa masyarakat untuk mengetahui lebih dalam berkenaan peristiwa perang yang pernah terjadi di situ.

Sepanjang penerokaan baru-baru ini, maklumat dari NGO Puteh yang diwakili oleh Norazimah Abdul Mutalib pastinya membawa suatu pengalaman yang baru. Setiap destinasi yang dibawa memukau pandangan dengan sesuatu yang tidak disangkakan wujud di hadapan mata.

Misteri peninggalan perang selama ini terkaku sunyi tanpa adanya perhatian bagi mencungkil khazanah tersebut. Sememangnya ini adalah sesuatu yang pastinya menarik kerana sepanjang laluan pasukan kami, tidak putus-putus pemahaman berkenaan dengan sejarah perang ini dipamerkan di gunung itu.

Dapat dirasakan bagaimana peritnya perang yang pernah dilalui di kawasan gunung berkenaan sehingga ada satu sudut yang dijumpai mempunyai terowong usang yang memuatkan seorang manusia dewasa sahaja yang menjadi tempat persembunyian tentera sewaktu pertempuran berlaku.

Binaan kubu perang di Gunung Pulai.

Alangkah sayang sekiranya khazanah seperti ini terus dibiarkan membisu tanpa ada sebarang galakan untuk masyarakat di luar mengetahui kewujudan tempat tersebut. Pastinya pengunjung akan mendapat pengalaman yang baharu apabila mengetahui akan perkara tersebut.

Bagi menyambut peluang ‘Tahun Melawat Johor 2020’ peluang sebegini sepatutnya direbut oleh pihak kerajaan untuk membangun tempat tersebut. Ia boleh menarik pelancong untuk hadir ke negeri ini serta meneroka sejarah terutamanya di kawasan seperti Gunung Pulai ini.

Menurut NGO yang memperjuangkan nasib Gunung Pulai ini, mereka mendakwa bahawa gunung ini mengandungi daya tarikan yang tersendiri serta pihak kerajaan harus membawa nilai khazanah yang mereka temui itu sebagai suatu daya tarikan dan memajukan tapak berkenaan.

Ini adalah suatu inisiatif baharu dalam penerokaan kawasan pelancongan. Sebagai sebuah kerajaan yang mahukan suatu kelainan seharusnya perkara ini dipandang berat. Penerokaan serta penemuan tempat-tempat baharu sebegini perlu dipergiatkan bagi persediaan menyambut program yang julung kalinya dibuat di negeri ini seperti Tahun Melawat Johor.

Exco dan pihak jabatan yang terbabit dalam soal pelancongan ini perlu peka dengan permintaan atau kehendak masyarakat serta pelancong bagi menarik perhatian mereka untuk menghayati Tahun Melawat Johor.

Seharusnya, pihak kerajaan dan jabatan sudah mula mengembleng tenaga dengan peminat tegar alam semula jadi untuk mencari destinasi pelancongan yang baharu untuk dihidangkan kepada pelancong atau masyarakat dalam Tahun Melawat Johor.

Masyarakat melihat Exco atau pihak kerajaan hari ini tidak menggerakkan secara aktif berkenaan dengan pelancongan serta menggarap idea baharu yang mula diterokai oleh golongan peminat alam semula jadi.

Sebelum ini, terdapat idea-idea di mana kerajaan perlu mengadakan pasukan untuk meneroka gua-gua di negeri ini selain menghidangkan gunung-ganang yang ada. Ini juga suatu idea yang menarik kerana mengambil konsep seperti Gua Tempurung, Gua Niah, Gua Kelam dan pelbagai gua lagi di negara ini yang berjaya menarik pelancong.

Kini sudah sampai masanya untuk kerajaan memikirkan langkah-langkah proaktif bagi mempergiatkan lagi persediaan Tahun Melawat Johor dan inisatif bersama-sama masyarakat, NGO, orang tempatan serta peminat bidang pelancongan perlu dipertingkat atau diadakan bagi mendapat sumber baharu untuk meneroka sehabis mungkin pelancongan di negeri ini.

Selain itu, kerajaan juga perlu lebih kreatif dalam mewujudkan kepelbagaian tarikan bukan sekadar budaya, pantai dan gunung sahaja, malah tapak sejarah, penemuan baharu seperti spesis tumbuhan atau haiwan, gua-gua dan pelbagai lagi.

Pucuk pangkalnya, hubungan pihak kerajaan dengan masyarakat perlu dieratkan lagi agar segala maklumat berkenaan dengan perkara yang boleh menjadi daya tarikan pelancong mampu diterima oleh pihak kerajaan.

Pihak terbabit seperti Exco pelancongan haruslah lebih peduli dalam menguruskan hal ini dan tidaklah beliau terus melayani keselesaan berjalan di atas karpet merah sahaja.