Sejuta rumah mampu milik: BN ‘janji dicapati’

Sejuta rumah mampu milik: BN ‘janji dicapati’

Selepas lima tahun Pengerusi BN, Datuk Seri Najib Razak berjanji untuk membina 1.1 juta rumah mampu milik untuk rakyat, jumlah unit yang siap terlalu jauh daripada angka dalam aku janji Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) lalu.

Pengarah Komunikasi AMANAH, Khalid Samad menyifatkan angka tersebut hanya ‘janji dicapati’ bukan janji ditepati apabila hanya 21.3 peratus sahaja unit rumah mampu milik siap dibina seperti dibentang di Parlimen.

“Dua bulan lepas, Bank Negara Malaysia (BNM) telah memberikan amaran rumah mahal dan di luar kemampuan kebanyakan rakyat.

“Malah hingga kini, janji kerajaan BN untuk membina sejumlah besar rumah mampu milik yang telah dijanjikan masih tidak lagi siap untuk kegunaan rakyat. Janji dicapati,” dipetik daripada Facebook beliau.

Untuk rekod, buletin suku tahunan BNM pada 14 Februari lalu melaporkan Malaysia menghadapi kekurangan rumah mampu milik untuk memenuhi keperluan ramai.

Menurut bank pusat itu, rumah di negara ini ‘tidak mampu dibeli’ pada 2016 oleh standard antarabangsa disebabkan oleh penawaran dan permintaan yang tidak sepadan serta pertumbuhan pendapatan yang lebih perlahan.

Setakat November 2017, hanya 241, 575 unit rumah mampu milik atau 21.3 peratus daripada sasaran siap dibina manakala 634, 235 unit rumah mampu milik (57 peratus) sedang dibina dan bakinya 22 peratus masih dalam perancangan.

BN dalam aku janjinya pada PRU-13 menyatakan komitmen untuk membina satu juta rumah mampu milik untuk rakyat bagi memberi peluang kepada golongan berpendapatan rendah.

Semalam, pelancaran Manifesto BN tidak lagi menyebut angka khusus untuk pembinaan rumah mampu milik. Sebaliknya, BN berjanji menubuhkan bank khusus untuk memudahkan proses pinjaman perumahan mampu milik dan kos rendah dengan harga RM300,000 ke bawah.

Hanya bagi Pulau Pinang, BN berjanji untuk membina sebanyak 60,000 unit rumah mampu milik dan kos rendah di Pulau Pinang untuk lima tahun mendatang.

9.5
OVERALL SCORE
: 9.0
3 user votes x 9.7
CATEGORIES
TAGS