Malaysia Dateline

Sekali lagi kedutaan China tolak memorandum bantahan penindasan etnik Uighur

Usaha Angkatan Gerak Minda Malaysia (Agra) yang tampil untukĀ  menyerahkan memorandum bantahan kepada Kedutaan China di Malaysia berhubung penindasan etnik Uighur di negara itu, gagal apabila memorandum tersebut ditolak hari ini.

Selepas memorandum bantahan dari NGO diketuai Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) pernah ditolak pada Julai lalu, hari ini, usaha berkenaan diteruskan oleh Sekretariat Solidariti Bersama Uighur mewakili 58 NGO yang menandatangani memorandum berkenaan melalui bantahan aman di hadapan Kedutaan China, Jalan Ampang di sini.

Walaubagaimanapun, Presidennya, Mohd Ashraf Mustaqim Badrul Munir, menzahirkan rasa kecewa terhadap penolakan oleh kedutaan berkenaan yang tidak menerima malah tidak memberikan apa-apa sebab penolakan.

“Kita telah berusaha hantar memorandum ke kedutaan tapi malangnya kenyataannya mengecewakan kami kerana kedutaan pun beroperasi hari ini, saya juga telah usaha buat panggilan tapi mereka tak layan kita.

“Maka hari ini kita tak dapat serah. Kita taknak kesepakatan kita di bakul sampahkan kerana memo ini wujud atas hasrat diplomasi. Kita bukan nak ajak berperang atau nak serang orang,” katanya dalam sidang media di hadapan Kedutaan China Jalan Ampang, hari ini.

NGO lain turut hadir, Setiausaha Agung Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Syed Hassan Syed Ali, Timbalan Pengerusi Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) Wilayah Persekutuan, Mohd Faizan Alias, termasuk Kelab Generasi Patriot Malaysia (Gen Patriot).

Sementara itu, Ashraf berkata, memo berkenaan memperincikan beberapa perkara yang menuntut agar entiti seperti Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Anggota Pergerakan Negara-negara Berkecuali (Nam), dan beberapa badan besar yang lain untuk mewakili suara Malaysia melihat keadaan sebenar di Xinjiang.

Menurutnya, memo tersebut turut akan di hantar kepada Menteri Luar Negeri, Datuk Saifuddin Abdullah, untuk mendesak tindakan dari kerajaan Malaysia bersuara dalam isu pencabulan hak asasi manusia di negara berkenaan.

Malah, ekoran penolakan memorandum hari ini, beliau akan menulis surat rasmi kepada Kedutaan China berhubung perkara berkenaan

Namun sekiranya surat tersebut tidak mendapat sebarang respon, mereka berikrar menggerakkan lebih ramai umat Islam mempertahankan masyarakat Uighur dan memberi tekanan kepada kerajaan China.

“Agar memo ini tidak dibakul sampahkan, kita akan tulis surat secara rasmi kepada mereka. Mungkin dia nak kita datang secara professional. Tapi sekiranya melalui cara ‘proper’ pun mereka tak terima, kita akan buat himpunan bantahan besar-besaran

“Kita akan hantar memo sama ke Saifuddin Abdullah, termasuk Duta China ke Malaysia, Bai Tian, dan Setiausaha Agung Pertubuhan Kerjasama Islam, Dr Yousef Ahmed Al-Othaimeen,” ujarnya.

Sementara itu, wakil NGO Perkasa, Syed Hassan menggesa Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) agar mendesak kerajaan achina menghentikan penderaan yang tidak berperikamunisaan terhadap umat Islam di negara China.

“Kita akn cuba cara yang proper, hantar surat ke sekretariat. Jika tiada sambutan, kita akan buat himpunan secara besaran. Dia nak tengok kita serius, jadi kita akan lakukan.

“Kita harap Suhakam turut bertanggungjawab bersama masyarakat di Malaysia untuk menghentam kerajaan China tentang kekejaman,” katanya.

Dalam pada itu, wakil GPMS, Mohd Faizan mengkritik tindakan Kedutaan China yang tidak menghiraukan suara yang dibawa hari ini melalui penyerahan memorandum bantahan.

“kita seramai 58 gabungan hari ini menyatakan bantahan walaupun suara kami seolah-olah ibarat dituang air ke daun keladi, sekurang-kurangnya kita ada pendirian dari suara-suara dalaman.

“Hari ini mereka tutup suara kami, apatah lagi saudara kita di China. Di sana mereka tidak beri kebebasan bersuara jadi umat Islam di sini perlu bersuara menentang kezaliman mereka. Kita akan buat himpunan lebih besar sekiranya mereka tidak menghiraukan suara kami,” katanya.