Malaysia Dateline

Sekali lagi, KM/MB PH tidak dijemput mesyuarat MKN mengenai Covid-19

Ketika Tan Sri Muhyiddin Yassin mempengerusikan mesyuarat khas Majlis Keselamatan Negara berkenaan Covid-19 pada Sabtu lepas, rupanya tiga menteri besar dan ketua menteri kerajaan Pakatan Harapan iaitu Menteri Besar Selangor, Negeri Sembilan dan Ketua Menteri Pulau Pinang tidak dijemput untuk menyertainya.

Namun ada baiknya, tindakan tidak baik ini memberikan hasil yang baik untuk mereka kerana jika mereka dijemput dan hadir, ketiga-tiga mereka juga terpaksa dikuarantin ekoran Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Agama) Datuk Dr Zulkifli Albakri disahkan positif Covid-19 ketika menyertai mesyuarat itu.

Lim Kit Siang
LIM KIT SIANG

Perkara ini disahkan sendiri oleh Ketua Menteri Pulau Pinang dari DAP, Chow Kon Yeow kepada veteran DAP, Lim Kit Siang, yang bertanya sendiri kepada beliau mengenainya.

“Saya bertanyakan kepada Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow, mengapa beliau tidak menghadiri mesyuarat ini dan beliau menjawab yang beliau tidak dijemput untuk menghadiri mesyuarat khas Majlis Keselamatan Negara berkaitan Covid-19 ini,” kata Kit Siang dalam satu kenyataan medianya.

Muhyiddin telah mempengerusikan satu mesyuarat khas Majlis Keselamatan Negara berkenaan Covid-19 pada hari Sabtu lepas, namun begitu, dengan jelas sekali, Ketua Menteri Pulau Pinang dan Menteri Besar Selangor dan Negeri Sembilan tidak ada dalam mesyuarat ini.

Menurut ahli parlimen Iskandar Puteri itu, beliau masih lagi ingat kegelisahan yang kemudiannya disusuli dengan permohonan maaf daripada Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Zuki Ali, kerana tidak menjemput pemimpin negeri Pakatan Harapan ke mesyuarat khas pertama yang dipengerusikan oleh Muhyiddin selepas beliau menjadi Perdana Menteri.

“Mengapakah kerajaan Perikatan Nasional memutuskan untuk bermain politik lagi, dan bukannya menunjukkan tauladan untuk menyatukan semua rakyat Malaysia, tanpa mengira parti politik dalam usaha melawan gelombang ketiga wabak Covid-19 ini?” soal beliau.

Kerana inilah, katanya, rakyat Malaysia perlu bertanya kepada kerajaan Muhyiddin, mengapakah kerajaannya terus-menerus merendahkan kepercayaan dan keyakinan rakyat terhadapnya yang akan mengganggu usaha-usaha untuk menyatupadukan rakyat dalam melawan wabak Covid-19?

Beliau juga mengungkitkan kembali isu Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr Khairuddin Aman Razali yang melanggar kuarantin 14 hari dan pergi ke seluruh negara termasuk ke Parlimen ketika dalam tempoh kuarantin tersebut.

“Isu berbangkit yang kekal menjadi misteri sehingga hari ini adalah mengapa kes mudah seperti pengingkaran SOP Kuarantin Covid-19 oleh Menteri Industri Perladangan dan Komoditi mengambil masa yang amat lama, dengan pihak Polis mengulangi jawapan yang sama, mengatakan kes ini masih dibawah siasatan.

“Saya seru Perdana Menteri untuk menekankan kepada Kabinet, mengenai kepentingan untuk mengembalikan kepercayaan dan keyakinan rakyat kepada kerajaan dalam usaha melawan gelombang ketiga penularan wabak Covid-19 di Malaysia.

“Adakah beliau akan dan mampu berbuat demikian?” tanya beliau lagi dalam kenyataan itu.