Malaysia Dateline

Sekarang dah jadi MP Bebas, Khairuddin keluar Pas, serah elaun bulanan sehingga PRU-15

Selepas pelantikannya sebagai anggota Majlis Ulama Syura Pas dibatalkan oleh Jawatankuasa Pusat Parti (JPP), Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali, mengumumkan pendiriannya keluar daripada parti tersebut berkuat kuasa hari ini.

Ahli Parlimen Kuala Nerus berkenaan berkata, tindakannya itu selari Fasal 15(1)(a) Perlembagaan PAS iaitu keberhentian ahli dengan permintaan sendiri.

Beliau turut sudah memaklumkan keputusan tersebut kepada Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan dalam pertemuan di Bangunan Parlimen, pada jam 2.30 petang tadi.

Bekas Setiausaha Majlis Syura Ulamak Pas itu bagaimanapun enggan mendedahkan alasan berhubung pendiriannya itu, selain menegaskan beliau akan menjadi Ahli Parlimen Bebas.

“Saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada Pas atas peluang menjadi ahli selama 33 tahun, sejak 1989 dan seterusnya menjawat pelbagai jawatan kepemimpinan sejak 1999.

“Saya juga mengucapkan terima kasih kepada Pas yang memberi peluang untuk dicalonkan pada pilihan raya, seterusnya menjadi Ahli Parlimen Kuala Nerus sejak 2013,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Sekarang dah jadi Ahli Parlimen Bebas, Khairuddin keluar Pas, serah elaun bulanan sehingga PRU-15
Mohd Khairuddin Aman Razali

Pada 21 Februari lalu, Khairuddin dilapor mengumumkan peletakan jawatannya sebagai Setiausaha dan Ahli Majlis Syura Ulama Pas mengikut Fasal 8(7) perlembagaan parti itu.

Sebelum ini, Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang memaklumkan jawatan Khairuddin dalam Majlis Syura terbatal selepas Jawatankuasa Pusat Parti (JPP) itu membatalkan pelantikannya sebagai anggota Majlis Ulama Syura.

Bekas Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi berkenaan berkata, beliau akan menyerahkan semua elaun bulanan sebagai Ahli Parlimen kepada Pas, bagi tempoh berbaki sehingga Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Dalam masa sama, Khairuddin juga berkata pemulangan itu bagi memenuhi bai’ah ketika bertanding pada PRU-14.

“Saya mendoakan Pas terus maju jaya sebagai sebuah parti yang membawa agenda Islam.

“Sebagai Muslim, saya akan terus memperjuangkan dasar Pas iaitu Islam, seruan Pas iaitu Allahu Akbar dan tujuan serta usaha Pas sebagaimana termaktub dalam Fasal 3, 4, 5 dan 6 Perlembagaan Pas yang semuanya selaras kehendak Islam.

“Saya menyeru semua ahli Pas untuk terus istiqamah dengan perjuangan Pas dan terus memperjuangkan Islam menerusi wadah Pas,” katanya.

Ditanya sama ada tindakannya itu dibuat berdasarkan pendedahannya berhubung cadangan kerjasama Perikatan Nasional (PN) dan Pakatan Harapan (PH), beliau bagaimanapun menyifatkan ia hanyalah tanggungjawabnya untuk memberi teguran kepada Pas.

“Ia adalah sebahagian daripada tugas saya untuk terus memberi pandangan. Maka saya akan terus memberi pandangan dan nasihat kepada semua parti politik di negara ini, termasuk Pas.

“Apa-apa sahaja ketidakselarasan dari sudut peraturan, akan saya tegur. Insya-Allah,” tambah Khairuddin lagi.