Malaysia Dateline

Sekarang, hanya sidang parlimen boleh selesaikan, kata penganalisis

Berikutan usul undi tidak percaya dari salah seorang Ahli Parlimen Umno yang selama ini menyokong kerajaan Perikatan Nasional, Tengku Razaleigh Hamzah, Dewan Rakyat perlu bersidang segera.

Ini kerana, kedudukan Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku Perdana Menteri Malaysia benar-benar tergugat dengan usul tersebut kerana kerajaan PN sebelum ini terbentuk dengan sokongan 113 undi dari 222 anggota Dewan Rakyat sahaja.

“Berikutan dengan perkembangan terkini yang telah melahirkan keraguan apakah PM masih lagi mempunyai sokongan majoriti dalam parlimen, tiada urusan yang lebih penting sekarang melainkan isu ini diselesaikan di parlimen tanpa tangguh-tangguh lagi,” kata penganalisis politik dan undang-undang, Kim Quek.

Bagi beliau, sidang khas parlimen perlu diadakan segera samada untuk membahaskan “Usul undi percaya” oleh kerajaan yang ada atau “Usul undi tidak percaya” oleh pembangkang terhadap perdana menteri untuk menyelesaikan isu ini.

“Jika dengan apa alasan pun, sidang khas tidak boleh diadakan, usul ini perlu dijadikan agenda pertama apabila parlimen mula bersidang 2 November nanti.

“Jika tidak, Malaysia boleh jadi diperintah oleh kerajaan yang tidak mengikut perlembagaan,” kata beliau.

Beliau juga meminta Muhyiddin memudahkan perjalanan sidang khas ini atau mempastikan usul itu diutamakan jika beliau orang yang berintergriti.

“Adalah penting untuk semua pihak yang berkepentingan memahami bahawa dalam Perlembagaan Persekutuan, hanya parlimen – bukan yang lain- diberikan kuasa untuk membuang perdana menteri,” kata beliau lagi.