Malaysia Dateline

Sekarang minta Agong ampunkan selepas macam permain perintah Raja-raja – Tokoh wartawan ini imbas balik apa berlaku zaman PM Najib

Tokoh wartawan veteran, Datuk A Kadir Jasin menerusi tulisan terbaharunya mengimbas balik titah Raja-raja pada 2015 berhubung tuntutan supaya kerajaan diterajui Najib ketika itu siasat segera isu berkaitan 1MDB.

Bagaimanapun, beliau menyifatkan dalam kes rasuah membabitkan Najib, perintah paling tinggi iaitu perintah Raja-raja pun “macam dipermainkan”.

“Kalau kita ingat lagi, pada 6 Oktober 2015, Raja-raja Melayu telah keluarkan satu kenyataan media mahukan kerajaan selesaikan secepat mungkin siasatan berkaitan 1MDB dan ambil tindakan tegas yang sewajarnya terhadap pihak-pihak terlibat.

“Baginda sekalian menegaskan semua pihak bertanggungjawab beri kerjasama yang sebenar dan jujur agar usaha serta maksud siasatan tersebut terlaksana,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Walau bagaimanapun, tegas Kadir, tidak sampai empat bulan iaitu lebih tepat 112 hari selepas titah Raja-raja itu, Peguam Negara, Mohamed Apandi Ali pada 26 Januari 2018 dalam sidang akhbar berkata bahawa Najib “tidak melakukan sebarang kesalahan berhubung kes SRC International dan dana RM2.6 bilion”.

“Penafian Apandi itu tidaklah mengejutkan kerana itulah pun tujuan pelantikan dia sebagai Peguam Negara setelah pendahulunya, Abdul Gani Patail ditamatkan perkhidmatan kononnya sakit.

Datuk A Kadir Jasin
Datuk A Kadir Jasin

“Sedangkan sebenarnya Najib mahu menyekat Abdul Gani daripada meneruskan tindakan untuk merangka pertuduhan terhadapnya bersabit rasuah SRC International Sdn Bhd.

“Tapi sekarang, setelah didapati bersalah dan dimasukkan ke dalam penjara, Najib minta pula Yang di-Pertuan Agong ampunkan dia,” tempelak A Kadir lagi.

Najib, 69, yang juga Ahli Parlimen Pekan, Pahang kini sedang meringkuk dalam Penjara Kajang, Selangor sejak 23 Ogos lalu dengan menjalani hukuman di jeriji besi selama 12 tahun.

Suami Datin Seri Rosmah Mansor itu gagal dalam rayuan akhirnya di Mahkamah Persekutuan untuk mengetepikan sabitan dan hukuman 12 tahun penjara dan denda RM210 juta atas kesalahan pecah amanah, menyalahgunakan kedudukan dan pengubahan wang haram dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.

Najib ketika bersumpah mubahalah di Masjid Kampung Baru pada 21 Ogos lalu.

Kelmarin, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah antara lain bertitah, kuasa menghukum dan memberi pengampunan tidak wajar digunakan sewenang-wenangnya kerana ia bakal dipertanggungjawab pada hari kemudian.

Baginda yang bertitah ketika ketika menyempurnakan majlis perasmian dan pemasyhuran Kompleks Mahkamah Syariah Negeri Pahang, Kompleks Syariah Al-Sultan Abdullah, di Kuantan, menyatakan undang-undang yang tidak dilaksanakan secara konsisten dan adil akan menjurus kepada penindasan dan kezaliman dalam sistem pemerintahan.

Baca juga Najib diami rumah pegawai senior – Ini penafian Jabatan Penjara

Baca juga Pendedahan di luar jangkaan, Youtuber sendiri tak sangka pelakon remaja mahu kongsi kisah tersebut