Malaysia Dateline

Sekarang pun boleh gubal tapi PN sendiri hasil lompat parti

Akta Anti Lompat Parti boleh digubal sekarang di Parlimen, dan sama sekali tidak memerlukan kelulusan majoriti dua pertiga Dewan Rakyat, kata Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim.

Beliau berkata, Akta Anti Lompat Parti adalah satu akta biasa yang memerlukan kelulusan majoriti mudah bukannya kelulusan majoriti dua pertiga.

Jelasnya, Perlembagaan Persekutuan juga tidak perlu dipinda terlebih dahulu untuk menggubal akta berkenaan.

“Perlembagaan Persekutuan sudah disediakan infrastrukturnya di bawah Fasal (2)(c) Perkara 10 untuk satu Akta Anti Lompat Parti digubal.

“Jadi, apakah halangan sebenarnya penggubalan Akta Anti Lompat Parti ini? Jawapannya ialah kerana tidak ada keazaman politik di kalangan pemimpin yang menjadi kerajaan,” katanya dalam sidang media di bangunan Parlimen hari ini.

Sementara itu beliau mengakui, kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang sempat berkuasa selama 22 bulan telah gagal menggubal akta tersebut.

Kesan dari kegagalan itu menurutnya, menyebabkan PH sendiri menjadi mangsa ahli Parlimen parti komponen itu yang hilang prinsip moral kerana sanggup mengkhianati mandat rakyat.

“Adakah kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang dipimpin oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mempunyai keazaman politik untuk menggubal Akta Anti Lompat Parti?

“Adalah disangsikan kesanggupan kerajaan PN untuk berbuat demikian kerana PN itu sendiri ditegakkan atas perbuatan lompat melompat parti,” sindirnya.