Malaysia Dateline

Sekarang tugas PM nasihat Agong panggil sidang Parlimen, kata Tan Sri Ariff

Mantan Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Ariff Yusof berpandangan adalah wajar dan sesuai untuk Perdana Menteri dan Kabinet seterusnya memberi nasihat kepada Yang di-Pertuan Agong untuk memanggil Parlimen bersidang dengan kadar segera sebelum berakhirnya tempoh darurat sekarang.

“Ini semestinya bermakna sebelum tamatnya tempoh darurat sekarang iaitu 1 Ogos 2021,” kata beliau.

Beliau berkata, apa yang disarankan juga selari dengan kehendak penting Perkara 150(3) Perlembagaan Persekutuan, iaitu pengisytiharan darurat dan Ordinan-ordinan dibawahnya hendaklah dibentangkan di Parlimen.

Beliau berkata demikian susulan kenyataan rasmi Istana Negara seiring dengan kenyataan penyimpan mohor Raja-Raja, yang bertitah agar parlimen perlu bersidang.

Katanya, Baginda menyuarakan pendapat yang jelas bahawa Parlimen adalah platform penting untuk membincangkan Ordinan-ordinan Darurat dan Pelan Pemulihan Negara di samping meneliti perbelanjaan menangani pandemik dan kesempitan rakyat.

“Pendapat yang diberikan adalah amat wajar dan tepat sambil mencerminkan fungsi YDPA di bawah Perlembagaan Malaysia, iaitu merangkumi hak Baginda untuk mendapat maklumat, dirunding dan memberi nasihat kepada Perdana Menteri dan Kabinet dalam hal-hal negara,” kata beliau dalam kenyataan.

Susulan selepas Majis Mesyuarat Khas Raja-Raja Melayu, Agong menitahkan agar Parlimen bersidang segera bagi membolehkan Ordinan-ordinan Darurat dan Pelan Pemulihan Negara dibahaskan oleh Ahli-ahli Dewan Rakyat.