Malaysia Dateline

Sekat kebebasan bersuara jadi norma baru selepas Parlimen digantung, soal Guan Eng

Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng menegaskan kritikan terhadap keputusan mahkamah tidak wajar disamakan dengan menghasut mahupun dilihat sebagai mempersoalkan kewibawaan kehakiman.

Ahli Parlimen Bagan itu berkata, tindakan menutup perbezaan pandangan adalah usaha menyekat kebebasan bersuara memandangkan kritikan sudah menjadi kelaziman dalam perundangan.

Beliau merujuk kenyataan yang dibuat Ketua Pengarang Malaysiakini Steven Gan dan Ahli Parlimen Klang Charles Santiago setelah Mahkamah Persekutuan menjatuhkan hukuman denda RM500,000 kepada laman berita itu atas sabitan menghina mahkamah.

“Kebebasan bersuara akan lebih tersekat dengan tindakan membuka kertas siasatan terhadap mereka.

“Adakah menyekat kebebasan media dan bersuara sudah menjadi norma baru setelah pengisytiharan darurat dan penggantungan Parlimen?” soal bekas Ketua Menteri Pulau Pinang itu.

Pada masa ini, Gan dan Santiago disiasat di bawah Akta Hasutan dan Akta Multimedia dan Komunikasi ekoran dua laporan polis diterima semalam oleh seorang individu yang dikatakan mewakili sebuah NGO berpusat di Gurun, Kedah.

Mengulas lanjut, Gua Eng berpendapat siasatan itu memberi imej negatif sebuah kerajaan yang berasa tidak selamat yang telah hilang majoriti di Parlimen.

“Satu demi satu hak asasi manusia dan demokrasi ditutup secara sistematik.

“Jika kertas siasatan boleh dibuka terhadap mereka, adakah ini bermakna polis juga akan menyiasat ribuan kritikan dan komen yang serupa?” soalnya dipetik Malaysiakini.

Sehubungan itu, beliau menggesa orang ramai terus menyokong hak kebebasan bersuara dan media, sepertimana sokongan yang ditunjukkan ketika meraih dana bagi Malaysiakini menjelaskan denda yang dikenakan.