Malaysia Dateline

Sekat kempen hasut Sarawak keluar dari Malaysia, kata NGO

Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan pihak Polis digesa supaya mengambil tindakan segera dan tegas terhadap mana-mana pihak yang cuba meraih undi dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak dengan menggunakan isu mahu ‘membebaskan’ Sarawak atau menghasut supaya Sarawak keluar dari Malaysia.

Menurut Presiden Persatuan Melayu Pulau Pinang (PEMENANG), Tan Sri Dr Mohd Yussof Latiff, kempen sedemikian amat merbahaya dan boleh mengancam keselamatan negara serta ibarat menghina Perlembagaan Negara dalam pembentukan Malaysia pada tahun 1963.

“Perkara 1(2),Perlembagaan Persekutuan secara jelas menyatakan bahawa Sabah dan Sarawak adalah sebahagian yang sah dan tidak boleh keluar dari Persekutuan Malaysia. Malah tindakan memisahkan sebegini adalah satu perbuatan khianat.

“PEMENANG telah beberapa kali mencadangkan supaya kerajaan menubuhkan Mahkamah Perlembagaan bagi membicarakan kes seumpama ini agar mereka yang melakukan kesalahan dapat dibicarakan dalam mahkamah khas dan keputusan diambil tanpa lengah.

“PEMENANG menyambut baik kenyataan Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg yang menyelar tindakan Parti Bumi Kenyalang yang memainkan isu mahu membebaskan Sarawak keluar dari Malaysia dalam kempen PRN Sarawak kali ini,” ujar beliau dalam satu kenyataan kepada Malaysia Dateline hari ini.