Malaysia Dateline

Sekat laman Sugarbook belum selesai masalah, KPT didesak cari jalan penyelesaian

Kementerian Pelajaran Tinggi (KPT) didesak agar mencari solusi membantu mahasiswa yang berhadapan kekangan kewangan bagi mengelakkan mereka mengambil jalan mudah mencari duit tambahan.

Wanita Muda AMANAH (WARDA) Selangor melalui Biro Komunikasinya berkata, biarpun Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) berjaya menyekat (banned) laman sugarbook.com, namun tindakan tersebut tidak cukup untuk menyelesaikan masalah yang timbul.

Apatah lagi katanya, normalisasi hubungan tanpa ikatan juga semakin berleluasa ketika ini.

“Tindakan menyekat laman sugarbook tidak mencukupi untuk menyelesaikan isu ini. WARDA Selangor ingin menegaskan bahawa kegiatan “sugaring” ini tidak terhenti disini sahaja.

“Perlu dilihat, salah satu faktor kegiatan ini berlaku disebabkan kesempitan ekonomi yang dihadapi mahasiswa dan desakan untuk menampung kos pembelajaran serta sara hidup yang tinggi.

“Tambahan, aktiviti yang menormalisasikan hubungan diluar ikatan perkahwinan ini juga melibatkan tidak hanya mahasiswa malahan, suri rumah, janda, dan ibu tunggal,” katanya kepada Malaysia Dateline hari ini.

Pada masa sama, WARDA Selangor menggesa Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga Dan Masyarakat (KPWKM) untuk bertanggungjawab menangani permasalahan yang menyebabkan wanita terlibat dengan aktiviti tidak bermoral.

Tegasnya, pada waktu ini adalah paling sesuai untuk KPWKM di bawah Datuk Seri Rina Harun menjalankan program dan aktiviti yang memperkasakan wanita dari sudut emosi, ekonomi dan pembangunan diri.

Menurutnya juga, Menteri Hal Ehwal Agama perlu membantu untuk membanteras normalisasi hubungan tanpa ikatan disamping menerapkan kesedaran moral terhadap masyarakat bahawa kegiatan “sugaring” adalah salah disisi agama.

“WARDA Selangor juga ingin menyeru tindakan undang-undang dj bawah akta 372B Kanun Keseksaan dikenakan terhadap Sugar Daddy ini tanpa mengira darjat.

“Usaha membanteras aktiviti “sugaring” ini memerlukan kerjasama daripada semua pihak dari pelbagai lapisan. WARDA Selangor berharap usaha ini dipantau dan di ambil serius secara berterusan bukan sekadar hangat-hangat tahi ayam, ketika isu tular sahaja,” katanya lagi.