Malaysia Dateline

Sekat masuk sekolah: Kerajaan GPS merayu  disaat terhakis kuasa, kata Hud Andri

Kerajaan Negeri Sarawak di bawah Gabungan Parti Sarawak (GPS) disifatkan hanya merayu disaat kuasanya terhakis.

Ini ekoran tindakan Menteri Pendidikan, Sains dan Penyelidikan Sarawak Datuk Dr Michael Manyin yang akan bertemu dengan Menteri Pendidikan Malaysia, Dr Maszlee Malik bagi merayu agar wakil rakyat GPS diberi kebenaran menghadiri majlis dan acara di sekolah.

Hud Andri Zakaria

Timbalan Pengerusi Parti AMANAH Negara Negeri Sarawak, Hud Andri Zulkarnaen berkata, Kerajaan GPS atau Michael Manyin lebih ‘arif’ kenapa larangan memasuki sekolah untuk majlis dan acara disekat kepada wakil rakyat.

Menurutnya, amalan melarang wakil rakyat pembangkang untuk hadir dalam acara dan majlis di sekolah adalah amalan Kerajaan Barisan Nasional (BN) yang juga merupakan sekutu rapat dengan Kerajaan GPS sebelum ini.

“Adakah beliau (Michael Manyin) sedar atau tidak¬† ketika mereka berada di puncak kuasa bersama BN sebelum ini pun pernah mengamalkan sekatan yang serupa terhadap pembangkang.,” ujarnya ketika ditemui di Pontian, Johor Bahru di sini hari ini.

Hud berkata demikian bagi mengulas tindakan Kerajaan Negeri Sarawak yang tidak berpuas hati gara -gara disekat untuk mengadakan program dan majlis di kawasan sekolah.

Michael Manyin dijangka akan bertemu dengan Dr Maszlee dalam masa terdekat ini bagi merayu pengguguran larangan tersebut atas alasan pelajar akan menjadi mangsa akibat sekatan itu.

Tambahnya, sejak Pakatan Harapan (PH) sejak kalah sebelum ini atau menang ketika ini tidak pernah menggunakan sekolah sebagai platform politik.

Katanya lagi, program sekolah yang dianjurkan adalah untuk memberi sumbangan dan keperluan bagi sekolah dan para pelajar.

Sebaliknya, tegas beliau Kerajaan GPS seharusnya bertanya dengan diri sendiri kenapa melarang Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum serta Tuai Rumah menghadiri program Kerajaan Persekutuan di negeri ini.

“Isu ini banyak persamaan dengan larangan Kerajaan GPS terhadap Ketua Masyarakat, Ketua Kaum dan Tuai Rumah untuk hadir pada program Kerajaan Persekutuan.

“Oleh demikian apabila sesuatu sekatan yang pernah mereka laksanakan dahulu ‘terkena’ kembali kepada mereka, ” ujar Hud.