Malaysia Dateline

Sekat migran masuk melalui Mexico, AS tutup pintu sempadan

Amerika Syarikat (AS) menutup sempadan di selatan California selepas ratusan migran dari Amerika Tengah merempuh pagar penghadang dalam cubaan untuk memasuki negara itu.

Penutupan itu dilakukan tiga hari selepas Presiden Donald Trump mengancam menutup “seluruh sempadan” dengan Mexico jika keadaan memaksa.

Klip video yang dimuat naik di Twitter menunjukkan sejumlah besar migran cuba merempuh penghadang konkrit, ada yang berjaya melepasi halangan pertama, mengakibatkan pihak berkuasa sempadan AS bertindak melepaskan gas pemedih mata.

Pegawai sempadan di San Diego, California mengatakan kedua-dua laluan kenderaan dan pejalan kaki di sempadan San Ysidro, antara kawasan paling sibuk ditutup pada Ahad. Arahan itu ditarik balik beberapa jam kemudian.

Satu demonstrasi aman turut diadakan di Tijuana oleh sekurang-kurangnya 500 penghijrah termasuk wanita dan kanak-kanak.

Trump sebelum ini mengeluarkan arahan menempatkan kira-kira 9,000 tentera di sepanjang sempadan untuk membantu pegawai sedia ada.

Kira-kira 5,000 migran tiba di Tijuana minggu lepas, selepas melalui perjalanan sejauh 4,000 kilometer yang mengambil masa selama sebulan.

Untuk memasuki AS secara sah, migran perlu memohon suaka secara rasmi namun proses itu dikatakan mengambil masa selama setahun.

Trump awal bulan ini menandatangani satu perisytiharan yang menyebut hanya mereka yang memasuki negara itu melalui pusat pemeriksaan rasmi boleh memohon suaka.

Bagaimanapun seorang hakim Mahkamah Persekutuan AS mengeluarkan perintah sementara untuk menyekat pentadbiran Trump daripada menafikan suaka kepada pendatang yang memasuki negara itu secara haram.

— BERNAMA