Sekat penyebaran ‘politik toksid’ di peringkat nasional, antarabangsa

Mohamad sedang menyampaikan pidato presiden.

AMANAH mengajak rakyat negara ini untuk sama-sama berusaha menyekat penyebaran kebencian (politik toksik) atas dasar etnik dan agama yang cuba dikembangkan oleh golongan pelampau yang berasa terancam atau yang mahu “memelihara ketulenan bangsa”.

Presidennya Mohamad Sabu berkata, menyedari hakikat ini AMANAH mengutuk sekeras-kerasnya penghapusan etnik Rohingya yang masih berterusan di Myanmar yang dilakukan oleh regim yang berkuasa.

“Kita mendesak supaya ASEAN beserta komuniti antarabangsa khususnya PBB bertindak menghalang tindakan ganas regim Myanmar ke atas etnik Rohingya.

“Kita juga melihat bagaimana isu-isu besar melibatkan golongan yang tertindas masih belum mendapat pembelaaan sewajarnya. Status Palestin masih tidak berubah, malah bertambah buruk lagi.
“Kini, Baitul Maqdis sedang dipaksa untuk menjadi kota Zionis dengan menafikan hak asasi rakyat Palestin di samping tindakan-tindakan sekatan dan keganasan puak Zionis di wilayah yang diduduki termasuk Gaza,” ujar beliau.

Penduduk Kashmir, katanya masih dinafikan hak-hak mereka yang sah di bawah undang-undang antarabangsa dengan penafian referendum yang diputuskan PBB pada tahun 1949 malah keganasan di Kashmir semakin menjadi-jadi kerana tindakan India yang sengaja tidak mahu mempraktikkan nilai-nilai demokrasi di wilayah Kashmir yang diduduki.

Beliau kesal kerana Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) masih tidak mampu bertindak proaktif menyelesaikan isu Palestin dan Kashmir yang sudah berlarutan lebih 70 tahun.

Mohamad turut menarik perhatian terhadap penderitaan rakyat Yaman yang kurang mendapat perhatian dunia, malah Amerika dan sekutunya terus membantu serangan ke atas orang awam yang tidak terlibat dengan konflik apabila membekal senjata kepada negara-negara Arab yang sedang memerangi Yaman.

“Kita juga sedang menyaksikan penjajaran semula politik rantau Asia Barat apabila Qatar menjadi mangsa pemulauan beberapa negara Arab atas kehendak Washington dan Zionis Israel.

“Sikap berkecuali Qatar tidak disenangi oleh regim-regim diktator Timur Tengah yang mahu supaya kepentingan Zionis Israel tidak digugat kerana beberapa tindakan Qatar yang menuruti dasar luar yang lebih pragmatik,” ujarnya.

CATEGORIES
TAGS