Sekat peruntukan:  Azmin tidak boleh halang Pas rujuk Sultan

Sekat peruntukan: Azmin tidak boleh halang Pas rujuk Sultan

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali tidak boleh menghalang wakil rakyat Pas mengadu kepada Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berhubung isu Adun parti itu disekat daripada menerima peruntukan kerajaan negeri.

Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dilaporkan turut menegaskan tindakan Pas bertemu Sultan Selangor bukan menghina, sebaliknya penghormatan kepada baginda sebagai sebahagian daripada jentera pentadbiran kerajaan negeri.

“Azmin tidak boleh menghalang kami (wakil rakyat Pas) mengadu kepada Sultan. Sultan adalah sebahagian daripada kerajaan negeri. Kami menggunakan saluran yang betul mengikut konsep demokrasi negara.

“Kerajaan dipilih oleh rakyat, wakil rakyat dan EXCO. Sultan adalah sebahagian daripada kerajaan negeri. Itu (pertemuan) satu penghormatan kerana kita membabitkan Sultan dalam pentadbiran kerajaan negeri,” katanya selepas melancarkan manifesto Gagasan Sejahtera (GS) semalam.

GS menawarkan 20 perkara dalam manifesto mereka yang bertema Malaysia Sejahtera merangkumi aspek ekonomi, sosial dan pentadbiran.

Mohamed Azmin sebelum ini mendakwa tindakan PAS mengheret istana Selangor dalam isu peruntukan dengan kerajaan negeri sebagai satu penghinaan kepada institusi diraja.

Pesuruhjaya Pas Selangor, Sallehin Mukhyi dilaporkan menyerahkan surat kepada Sultan Sharafuddin Idris Shah pada 12 Mac lalu membangkitkan isu Adun Pas dinafikan peruntukan kawasan selama dua bulan.

Sementara itu, Abdul Hadi berkata, Pas sedia bekerjasama dengan mana-mana parti termasuk pakatan harapan bagi membentuk kerajaan jika ia selari dengan prinsip yang mereka perjuangkan.

“Tetapitengok keputusan pilihan raya. Belum tahu mereka menang berapa kerusi nanti,” katanya.

COMMENTS

Wordpress (0)