Malaysia Dateline

Sekat propaganda zionis, sebar realiti kekejaman Israel

Ketua Angkatan Wanita AMANAH (AWAN) Nasional menzahirkan kebimbangan terhadap keadaan rakyat Palestin ekoran keganasan berterusan dari kumpulan zionis haram Israel.

Beliau berkata, keadaan di Gaza amat genting apabila dilaporkan hanya sekitar enam jam sahaja bekalan elektrik boleh diperoleh rakyat Palestin berbanding 12 jam sehari sebelum ini.

Bahkan katanya, 95 peratus bekalan air di Gaza disahkan sebagai tidak selamat diminum, selain hospital-hospital di negara itu mengisytiharkan hanya mampu bertahan selama sembilan hari ekoran bantuan perubatan tidak dapat diakses ke negara Islam itu.

“Suara umat Islam perlu didengar setiap hari tak perlu jemu. AWAN akan adakan setiap minggu munajat untuk Palestin. Kemenangan kita di Palestin akan semakin hampir. Kita tak perlu lemah semangat dan terus gunakan media baru yang ada.

“Kalau dulu propaganda dikuasai yahudi zalim, mereka menipu kita menipu rakyat seluruh dunia tapi waktu ini dengan media alternatif yang ada, kita semua di seluruh dunia akan bangkit bersama Palestin.

“Kita akan matikan propaganda zionis dengan menyebarkan kebenaran sehingga kedaulatan dan ‘right to return’ dikembalikan kepada Palestin,” tegasnya dalam Ceramah Mega #KoyakIsrael di Wisma AMANAH malam tadi.

Turut menyampaikan pidato, Presiden AMANAH, Mohamad Sabu; Timbalan Presiden AMANAH, Datuk Seri Salahuddin Ayub; Ahli Parlimen Bukit Mertajam Steven Sim; termasuk Pengerusi MAPIM, Cikgu Azmi.

Sementara itu, Aiman Athirah yang juga Senator Dewan Negara itu berkata, ketika ini 90 peratus tanah rakyat Palestin telah pun dijajah oleh Israel.

Sepanjang tempoh 11 hari, peperangan di Palestin telah mengorbankan ratusan nyawa umat Islam yang turut melibatkan kanak-kanak berusia satu tahun hingga 17 tahun.