Malaysia Dateline

Sekatan pergerakan penuh 14 hari bermula tengah malam ini

Sehingga 14 Jun, sekatan pergerakan penuh (total lockdown) fasa pertama dilaksanakan di seluruh negara bermula tengah malam ini.

Tempoh dua minggu itu menyaksikan penutupan penuh sektor sosial dan ekonomi susulan kenaikan mendadak kes jangkitan Covid-19 dengan kewujudan varian baharu yang lebih ganas dan cepat merebak.

Walau bagaimanapun, banyak sektor ekonomi dibuka sekali gus dilihat menyukarkan usaha Kementerian Kesihatan (KKM) untuk melandaikan lengkung penularan Covid-19.

Hal ini susulan keputusan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) mengumumkan 18 sektor pembuatan dan perkhidmatannya yang berkaitan (MRS) dibenarkan untuk beroperasi.

MITI dalam kenyataan semalam, berkata sektor yang dibenarkan beroperasi dengan kapasiti 60 peratus pekerja adalah aeroangkasa (komponen serta penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih – MRO); makanan dan minuman; bahan pembungkusan dan percetakan serta barang-barang penjagaan diri dan bahan pencuci.

Turut tersenarai ialah bagi keluaran penjagaan kesihatan dan perubatan termasuk penokok diet; peralatan perlindungan diri (PPE) termasuk sarung tangan getah dan peralatan keselamatan kebakaran; komponen bagi peranti perubatan; elektrikal dan elektronik serta minyak dan gas termasuk petrokimia dan produk petrokimia juga mendapat kebenaran yang sama.

Turut dibenarkan adalah produk kimia; mesin dan peralatan; tekstil untuk pengeluaran PPE sahaja; serta pengeluaran, penyulingan, penyimpanan, pembekalan dan pengagihan bahan api dan pelincir, manakala lima lagi sektor dibenarkan beroperasi di bawah siap siaga dengan 10 peratus pekerja iaitu automotif (kenderaan dan komponen); besi dan keluli, simen; gelas serta seramik.

MITI berkata, sektor berkenaan dibenarkan beroperasi dengan syarat mendapat surat kelulusan MITI yang boleh dimuat turun daripada portal Covid-19 Intelligent Management System (CIMS) 3.0.

Sebelum ini, kes jangkitan Covid-19 membabitkan kluster tempat kerja membimbangkan apabila merekodkan jumlah tertinggi selain kluster perayaan dan rentas negeri.

Sejak 1 April hingga 26 Mei lalu, sebanyak 287 kluster tempat kerja dilaporkan melibatkan 17,087 kes dan daripada jumlah itu 233 kluster masih aktif direkodkan membabitkan 16,785 kes aktif.

Sektor pengilangan didapati penyumbang bilangan kluster tertinggi berbanding subkategori lain iaitu sebanyak 132 kluster (46 peratus) dalam tempoh sama dan ia diikuti sektor perkhidmatan yang merekodkan 57 kluster (20 peratus).

Walaupun kerajaan mengumumkan pelaksanaan PKP 3.0 bermula pada 12 Mei, trend kluster di tempat kerja masih tidak menunjukkan penurunan yang ketara.

Sebanyak 115 kluster tempat kerja dengan 5,392 kes dilaporkan antara 12 Mei sehingga 26 Mei dengan lebih separuh daripada jumlah tersebut melibatkan sektor pengilangan iaitu 62 kluster.