Malaysia Dateline

Sekatan rentas negeri lebih lama dibimbangi jejas pendapatan rakyat

Kerajaan diminta untuk menjelaskan sekiranya mereka sudah mengambil kira impak ke atas ekonomi jika penamatan sekatan merentas negeri hanya akan dipertimbangkan selepas 70 peratus daripada rakyat Malaysia menerima vaksin.

Ahli Parlimen Bangi, Dr Ong Kian Ming berkata, Menteri Kanan Majlis Keselamatan Negara (MKN), Datuk Seri Ismail Sabri dan Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah perlu menjawab hal berkenaan susulan pemberitahuan bahawa sekatan akan terus dilakukan.

Ong mempersoalkan apa akan berlaku ke atas pusat-pusat penginapan sekiranya sekatan dilanjutkan kerana untuk mencapai tahap vaksinasi 70 peratus, itu akan mengambil tempoh sehingga Disember depan.

“Sekiranya sekatan ini berlanjutan, sektor-sektor ini akan menerima kesan yang amat teruk. Ratusan hotel akan terpaksa ditutup untuk tahun ini dan mungkin juga pada masa akan datang.

“Sektor minuman dan makanan (F&B) dan sektor perkhidmatan lain yang bergantung kepada aktiviti pelancongan dan aktiviti-aktiviti lain yang berkenaan dengan merentas negeri juga akan turut terjejas.

“Saya merasa kasihan terhadap pakcik dan makcik yang menjual buah-buahan di R&R (kawasan rehat dan rawat) sepanjang lebuhraya PLUS (Lebuhraya Utara-Selatan) yang akan mengalami kemerosotan pendapatan semasa PKP 2.0 jikalau sekatan ini dilanjutkan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pada masa sama, Ong berkata, beliau turut kasihan terhadap keluarga yang bergantung kepada inap desa sebagai sumber pendapatan mereka jika sekatan ini dilanjutkan.

Menurutnya, orang muda yang bekerja di stesen minyak sepanjang lebuhraya juga akan kehilangan pekerjaan kerana ketiadaan pelanggan yang mengisi minyak dan membeli barang.

Beliau berkata, Noor Hisham diharap dapat memberi pertimbangan yang sama kepada mereka yang mengalami kepayahan ekonomi yang teruk akibat daripada Perintah Kawalan Pergerakan fasa kedua (PKP 2.0).

“Bantuan asal yang diberikan kepada Mak Kiah sudah habis digunakan. Wang i-Sinar yang sudah dikeluarkan daripada Akaun KWSP (Kumpulan Wang Simpanan Pekerja) tentu akan dihabiskan sebelum akhir tahun.

“Apa yang akan terjadi kepada kumpulan-kumpulan ini?,” soalnya lagi.