Malaysia Dateline

Sekatan terhadap Iran oleh AS cabul undang-undang antarabangsa, kata PM

Sekatan yang dikenakan ke atas Iran oleh Amerika Syarikat mencabul piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan undang-undang antarabangsa, kata Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dalam satu persidangan di Qatar.

“Malaysia tidak menyokong pengenaan semula sekatan secara unilateral oleh AS terhadap Iran,” kata beliau dalam Forum Doha, yang turut dihadiri Emir Qatar, Sheikh Tamim bin Hamad Al Thani, semalam, lapor Al Jazeera.

Tahun lalu, Presiden AS Donald Trump secara unilateral menarik keluar AS daripada perjanjian nuklear Iran 2015 dan mengenakan sekatan bagi mengekang eksport minyak Iran serta ekonominya sebagai sebahagian kempen “tekanan maksimum” terhadap Tehran bagi memaksa supaya Iran membuat rundingan baharu.

Minggu lalu, Presiden Iran Hassan Rouhani mengumumkan apa yang dipanggilnya “bajet penangkis” berjumlah 39 bilion dolar untuk berhadapan dengan sekatan AS berikutan kenaikan harga minyak yang menyebabkan berlakunya protes di seluruh negara itu.

Malaysia dan beberapa negara lagi kehilangan “pasaran besar” disebabkan sekatan AS terhadap Iran, kata Mahathir.

“Sekatan seperti itu jelas mencabuli Piagam PBB dan undang-undang antarabangsa. Sebarang sekatan hanya boleh dikenakan oleh PBB berdasarkan piagam tersebut,” tambahnya.