Malaysia Dateline

Sekitar suasana perkarangan CAC Stadium Malawati hari ini

Ribuan pesakit pelbagai peringkat usia berbaris panjang di perkarangan Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) di Stadium Malawati pagi tadi.

Keadaan sesak CAC tersebut dengan para petugas mengenakan kelengkapan perlindungan diri (PPE) dirakamkan lensa Malaysia Dateline dalam tinjauan hari ini.

Warga emas dan individu berkerusi roda turut dilihat sedang beratur menunggu giliran sebelum masuk ke dalam ruang penilaian.

Pesakit perlu beratur terlebih dahulu di bahagian luar kawasan berdekatan tempat letak kereta dan jalan besar untuk menunggu giliran.

Mereka ada yang berdiri dan ada yang duduk di kerusi yang disediakan kira-kira sejam sebelum secara beransur-ansur bergerak menuju ke khemah.

Dijangka CAC terbesar di Malaysia itu menerima lebih 6,000 pengunjung hari ini memandangkan terdapat 22,856 kes di daerah Petaling sahaja dalam tempoh dua minggu iaitu antara 7 Julai hingga semalam.

Cuaca agak panas dengan ada pesakit yang beratur berpayung. Kelihatan juga kumpulan warganegara asing dipercayai pekerja industri yang membawa beg pakaian masing-masing.

Dari semasa ke semasa, petugas yang berpakaian PPE juga dilihat terus melayani pesakit yang sedang beratur.

Sejak minggu lalu, kira-kira 200 petugas barisan hadapan di CAC Stadium Malawati terpaksa berdepan dengan limpahan luar biasa pesakit Covid-19.

Semalam, Selangor merekodkan lagi 5,524 kes baharu Covid-19 sekali gus menambah kepada 332,347 kes.

Angka jangkitan di negeri itu menyumbang 35 peratus daripada jumlah keseluruhan 939,899 kes Covid-19 di negara ini.

Daerah Petaling paling teruk terjejas diikuti Hulu Langat (14,350 kes), Klang (10,744 kes) dan Gombak 8,422 kes sepanjang 14 hari bermula 7 Julai lalu.

Berikut suasana perkarangan CAC Stadium Malawati setakat tengah hari tadi:

Perkarangan CAC di Stadium Malawati sesak dengan ribuan pesakit Covid 19
Petugas lengkap PPE membantu salah seorang pesakit mengemaskini butiran aplikasi MySejahtera
Pesakit yang kuarantin di rumah di kawasan daerah Petaling juga datang ke sini untuk menamatkan prosedur kuarantin
Kumpulan pekerja asing bersama beg pakaian masing masing Sektor perkilangan menyumbang peratusan tinggi kluster Covid 19
Warga emas antara ribuan pengunjung di CAC Stadium Malawati
Selain Pejabat Kesihatan Daerah PKD pelbagai agensi juga tampil termasuk polis Pejabat Daerah Petaling dan Kerajaan Negeri Selangor