Malaysia Dateline

Sekolah akan dibuka secara berperingkat mulai 1 September

Sesi persekolahan secara pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) akan dilanjutkan sehingga 31 Ogos ini, demikian menurut Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) hari ini.

Bagaimanapun menurut KPM sekolah hanya akan dibuka secara berperingkat-peringkat untuk sesi pembelajaran secara bersemuka mulai 1 September nanti.

“Ketetapan ini terpakai kepada semua sekolah kerajaan, sekolah bantuan kerajaan, sekolah swasta dan institusi yang berdaftar dengan KPM,” katanya.

Katanya, keputusan menyambung PdPR sehingga akhir Ogos dan pembukaan berperingkat pada September nanti dibuat dengan mengambil kira kadar vaksinasi dalam kalangan guru dan kakitangan sokongan.

“Sehingga 16 Julai lalu seramai 253,366 orang atau 61.30 peratus guru dan pentadbir serta 10,876 orang (46.33 peratus) kakitangan sokongan telah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin,” kata KPM.

Namun kata KPM mereka akan terus mengambil kira penilaian risiko oleh Kementerian Kesihatan Malaysia dan Majlis Keselamatan Negara bagi melihat kemungkinan jadual yang ditetapkan itu diubah.

“Sebarang perubahan akan dimaklumkan lebih awal,” katanya.

KPM sentiasa bekerjasama rapat dengan Badan Bertindak Imunisai Covid-19 (CITF) bagi memastikan kadar vaksinasi dalam kalangan guru, pentadbir dan kakitangan sokongan di sekolah dapat terus ditingkatkan.