Malaysia Dateline

Sekolah di Indonesia dibuka semula Januari 2021

Proses pembelajaran tatap muka di Indonesia dijangka dilaksanakan mulai Januari tahun depan walaupun kadar penularan Covid-19 di republik itu masih melebihi 10 peratus.

Menteri Pelajaran dan Kebudayaan Indonesia, Nadiem Makarim dilapor berkata, pembukaan sesi persekolahan itu berpandukan tahap risiko jangkitan virus, persediaan pihak sekolah dan protokol kesihatan yang teratur.

Setiap pelajar dan guru yang hadir ke sekolah diwajibkan memakai pelitup muka, suhu badan tidak melebihi 38 darjah celcius serta kerap mencuci tangan menggunakan sabun.

Kedatangan pelajar pula dibahagikan kepada dua kumpulan iaitu 50 peratus ke sekolah manakala selebihnya belajar dari rumah dan ia dilakukan secara bergilir-gilir.

Secara khusus, setiap kelas untuk pendidikan awal kanak-kanak dan orang kurang upaya (OKU) hanya dibenarkan menerima kehadiran maksimum lima pelajar.

Pembelajaran juga diteruskan tanpa latihan sukan dan aktiviti kokurikulum, sementara kantin sekolah ditutup.

Indonesia iaitu negara keempat terpadat di dunia telah merekodkan 538,883 kes positif Covid-19 sekali gus tertinggi di Asia Tenggara.

Sehingga jam 10 pagi ini juga, seramai 450,518 kes pulih dan 16,945 kes kematian.

Nadiem menambah pembukaan semula sekolah perlu berdasarkan persetujuan pihak pentadbiran tempatan, pengetua sekolah dan ibu bapa.

“Sekiranya ketiga-tiga pihak bersetuju, ia bermaksud sesi persekolahan boleh dimulakan,” jelasnya.

Sebelum ini, Kementerian Pendidikan dan Kebudayaan berpendapat pembelajaran tatap muka harus dimulakan kerana sistem jarak jauh atau atas talian dianggap “tidak ideal dan memiliki banyak kelemahan”.

Mulai Julai lalu, Indonesia hanya membenarkan pembelajaran tatap muka dengan syarat protokol kesihatan yang ketat di kawasan zon hijau sahaja.