Malaysia Dateline

Sekolah di Sarawak dibuka 8 Mac ini

Sarawak memutuskan Sekolah Rendah Kerajaan dan Sekolah Rendah Bantuan di negeri ini dibenarkan beroperasi secara bersemuka mulai 8 Mac ini.

Menurut Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN)Sarawak dalam kenyataan media semalam, keputusan itu telah diambil bersama Jabatan Pendidikan Negeri(JPN) Sarawak yang mewakili Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

Kata JPBN, sebanyak 1,045 buah sekolah rendah kerajaan dan sekolah bantuan kerajaan seluruh Sarawak dibenarkan beroperasi melibatkan penambahan 231 sekolah rendah yang dibenarkan secara bersemuka berbanding 814 pada 1 Mac lalu.

Bagaimanapun, jelas JPBN 220 sekolah rendah di kawasan berisiko tinggi penularan Covid-19 masih belum beroperasi sehingga 14 Mac.

“Keputusan ini diambil setelah penilaian risiko dilakukan dan memenuhi Garis Panduan Pengurusan dan Pengoperasian Sekolah dalam Norma Baharu 2.0 yang dikeluarkan KPM,”ujar JPBN.

Sementara itu, JPBN memaklumkan Sarawak semalam telah merekodkan peningkatan sebanyak 250 kes baharu Covid-19.

Tambah JPBN, antara daerah yang melaporkan kes adalah Sibu (123), Meradong (36), Bintulu (21), Kuching (17), Kapit (17), Miri (14), Julau (7), Serian (4), Daro (3), Asajaya (2), Samarahan (2), Selangau (2), Dalat (1) dan Sri Aman (1).

“Ini menjadikan jumlah keseluruhan kes Covid-19 di negeri ini meningkat kepada 10,674 kes.

“Semalam juga, terdapat 174 kes baharu yang telah pulih dan dibenarkan discaj iaitu dari Hospital Sibu (61), Hospital Bintulu (37), Hospital Umum Sarawak (34), Hospital Sarikei (21), PKRC di bawah Hospital Kapit (9), PKRC di bawah Hospital Sri Aman (9), Hospital Miri (3).

“Maka, setakat ini keseluruhan kes positif Covid-19 yang telah pulih atau dibenarkan discaj meningkat kepada 8,141 orang atau 76.27 peratus daripada jumlah keseluruhan kes Covid-19 di Sarawak,” tegas JPBN.

JPBN turut memberitahu, Daerah Selangau, Betong, Meradong, Kuching, Samarahan, Kapit, Bintulu, Miri dan Sibu kekal berstatus merah dengan sejumlah 1,770 kes jangkitan tempatan dilaporkan di 10 buah daerah ini dalam tempoh 14 hari yang lepas.

“Manakala, Daerah Kanowit, Serian, Sarikei, Julau, Subis, Bau, Bukit Mabong, Dalat dan Sri Aman juga kekal berstatus Jingga dengan jumlah keseluruhan 227 kes jangkitan tempatan dilaporkan dalam tempoh 14 hari yang lepas.

“Bagi Daerah Marudi, Mukah, Pusa, Song, Asajaya, Beluru, Saratok dan Sebauh kekal berstatus Kuning dengan jumlah keseluruhan 62 kes jangkitan tempatan dilaporkan dalam tempoh 14 hari yang lepas, manakala 14 daerah lain kekal berstatus hijau,” kata JPBN.