Malaysia Dateline

Sekolah pondok perlu dibantu laksana piawaian keselamatan

Sekolah-sekolah pondok yang kebanyakannya didirikan sebelum wujudnya piawaian keselamatan untuk pusat-pusat pendidikan, perlu dibantu supaya institusi tradisional ini tidak terdedah kepada risiko kebakaran atau bencana lain.

Ketua Wanita Pakatan Harapan (PH) Kelantan Norashidah Jaafar berkata, sumbangan besar kepada negara yang telah dilakukan oleh sekolah-sekolah pondok harus dibalas dengan perhatian khusus oleh pihak berkuasa.

“Kerajaan PH setelah mendapat mandat rakyat pada PRU14 nanti perlu meletakkan agenda ini sebagai keutamaan.

“Kita sudah tidak mampu untuk menanggung kesedihan apabila berlaku tragedi demi tragedi kepada institusi warisan yang amat berharga ini,” katanya kepada media selepas mengetuai lawatan ke Madrasah Muhammadiah Pondok Beta Hilir, Kota Bharu semalam.

Kesan hangus 15 pondok di Madrasah Muhammadiah yang terbakar.

Lawatan yang disertai pimpinan utama Wanita PH Kelantan itu mengunjungi isteri pengasas pondok berkenaan Hajjah Wan Halimah Haji Bakar.

Penyelesaian kepada masalah spesifikasi keselamatan sekolah-sekolah pondok kata Norashidah hanya boleh diselesaikan jika pihak kerajaan mengambil tanggungjawab penuh.

“Tidak cukup dengan akta-akta yang diwujudkan bagi mengawal institusi-institusi pendidikan biasa.

“Ini kerana kedudukan kewangan sekolah pondok amat terhad dan pembinaannya pula dibuat pada zaman di mana aspek-aspek keselamatan berkaitan teknologi baru seperti elektrik dan penggunaan dapur gas belum wujud,” katanya.

Walau bagaimanapun beliau menyeru orang ramai khususnya ibu bapa yang menghantar anak-anak mereka ke sekolah jenis ini turut prihatin terhadap masalah keselamatan.

“Kepada mereka yang ada kepakaran perlu memberi nasihat kepada pentadbir-pentadbir, manakala golongan yang berkemampuan perlu menyumbang bagi menaik taraf sistem keselamatan supaya setanding dengan pusat-pusat pendidikan yang diiktiraf,” katanya.

Pihak Wanita PH telah menyampaikan derma khas sempena lawatan itu.

Pada kejadian 28 Disember lalu, 14 pondok di Madrasah Muhammadiah ini musnah dalam kebakaran yang berlaku bermula jam 7.45 malam.

Kepada mereka yang ingin turut menderma bolehlah berhubung terus dengan pihak pentadbir di talian 012 9845040 (Mudir) dan 019 9060874 (Naib Mudir) serta 013 4427096 (Pejabat).

Penderma boleh memasukkan terus ke akaun madrasah 03010002364711 (Bank Muamalat) atau 035504200001616 (BSN).