Sekolah Rukun Negara tanam ilmu kenegaraan kepada generasi muda

Semasa membentangkan kertas kerja di Indonesia dan Turki, dalam kunjungan ke fakulti di universiti di kedua buah negara tersebut, perkara yang sering saya perhatikan ialah bendera negara mereka akan berada di atas meja.

Dalam bilik dekan pula bendara negara tertegak di belakangnya. Di jalan raya, bahagian belakang bas awam terpampang poster bendera negara mereka. Ini bukanlah semasa menyambut hari kemerdekaan tetapi setiap hari dan setiap masa.

Di negara kita, sejak 62 tahun merdeka, jalur gemilang akan hanya berkibaran dalam lebih kurang sebulan sebelum menyambut hari kemerdekaan. Bagi syarikat swasta dan instituisi awam, ia merupakan suatu kewajipan dan kempen memasang jalur gelimang terpaksa dilakukan bagi menampakkan kceriaannya.

Saya sering juga bertanya apakah yang menyebabkan kesedaran terhadap kibaran bendera begitu tinggi dalam kalangan pejabat awam dan swasta. Kebanyakan jawapan yang saya terima ialah pendiidikan sejarah dan pengalaman kemerdekaan yang disampaikan dari mulut ke mulut dan secara visual dan seperkara lagi ialah melalui pendidikan kenegaraan di peringkat rendah.

Kedua-dua negara ini mungkin tidak mempunyai masalah kaum dan ras dalam mewujudkan sekolah kenegaraan kerana kewarganegaraan telah diwujudkan ke dalam satu wacanan ialah bangsa sebagai negara.

Mereka mungkin mempunyai masalah politik, sosial dan ekonomi tetapi mereka bersatu hati dalam sejarah kemerdekaan. Walaupun mereka mempunyai ideologi dan perjuangan politik berbeza tetapi mereka mempunyai satu sejarah rasmi (tidak kira kerajaan memerintah atau pembangkang) dalam perjuangan mencapai kemerdekaan.

Sedih sekali negara kita tidak mempunyai sejarah rasmi dalam memperjuangkan kemerdekaan. Ini juga ada kaitan dengan sejarah kemerdekaan yangkebanyakannya di lihat daripada sudut Umno sebagai parti pemerintah selama 60 tahun lalu. Tidak keterlaluan untuk dikatakan sejarah kemerdekaan kita adalah condong kepada satu pihak, iaitu dari persepektif Umno.

Sehubungan itu langkah menurunkan usia daripada 21 kepada 18 tahun amat releven sekali ke arah membina generasi muda bagi mencintai negara dan memahami sejarah kemerdekaan dengan lebih seimbang apa tah lagi menanamkan semangat cintakan jalur gemilang.

Di samping itu saya juga bersetuju dengan program Sekolah Rukun Negara (SRN) yang bakal dilancarkan oleh Kementerian Belia dan Sukan (KBS) bersama Suruhanjaya Plihan Raya (SPR) yang berada dalam landasan betul bagi mendedahkan golongan muda kepada amalan demokrasi negara.

Kenegaraan berkait rapat dengan semangat tinggi dan sikap prihatin yang menjurus kepada pemahaman terhadap sejarah dan hal ehwal perjuangan dalam meninggikan martabat dan mempertahankan kedaulatan dan maruah negara.

SRN harus menanamkan ilmu kenegaraan kepada generasi yang lebih menjurus kepada pengajian mengenai Malaysia termasuklah sistem demokrasi berparlimen, kemerdekaan, sejarah awal hingga kontemporari, perbincangan mengenai kepelbagaian masyarakat majmuk, sistem raja berperlembagaan, dasar-dasar dan pentadbiran awam serta rancangan-rancangan pembangunan fizikal, sosial, pendidikan, ekonomi, keagamaan, peranan Malaysia dalam hal ehwal antarabangsa dan seumpamanya.

Menurut Pegawai Tugas-Tugas Khas KBS Wan Ahmad Fayshal Wan Kamal, program SRN khususnya kepada belia berumur 18-25 adalah dalam usaha mewujudkan kesedaran politik yang sihat serta kefahaman akan hak mereka sebagai pengundi baharu.

Generasi muda dapat didefinisikan sebagai generasi penerus bagi suatu keberlangsungan dari generasi sebelumnya, generasi muda merupakan tulang belakang utama pengemban tugas kepimpinan negara dari proses keberlangsungan tersebut.

Namun dalam zaman yang berbeza maka beza pula sikap golongan muda terhadap keadaan negaranya, pada masa kini generasi muda negara mudah terjebak dalam budaya hedonisme, kebanyakan mereka yang masih tidak memikirkan nasib negaranya atau memikirkan penyelesaian dan tindakan ke depan.

Kebanyakan generasi muda sekarang ini lebih senang menghabiskan waktu di tempat hiburan daripada sekedar membaca dan menelaah nasib negaranya, lebih senang menghambur-hamburkan wang mereka pada butik-butik ternama dalam dan luar negara.

Oleh itu perwujudan sekolah rukun negara akan mendedahkan kepada politik dan demokrasi di samping sejarah negara dan memahami kepentingan kibaran jalur gemilang. Cabaran kita ialah bagaimana hendak menyatukan sekolah aliran kebangsaan Cina dan Tamil ke dalam perskolahan nasional atau satu aliran.

Sejauh manakah penerimaan sekolah aliran kebangsaan Cina dan Tamil terhadap SRN. Suatu pengorbanan besar harus digalakkan demi negara yang tercinta.

*Penulis adalah pensyarah di Jabatan Komunikasi, Fakulti Komunikasi, Seni Visual dan Pengkomputeran, Universiti Selangor (Unisel)