Pusat Tahfiz Darus Syabab yang dikaitkan dengan kes sembilan pelajarnya diliwat oleh pengetua dikenal pasti beroperasi tanpa kebenaran daripada bomba, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi).
Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa berkata beliau mengesahkan status itu dalam lawatannya ke sekolah berkenaan di Kepong, pagi ini.
“Saya dimaklumkan Pusat Tahfiz Darus As-Syabab itu sudah memohon untuk berdaftar dengan Jabatan Agama Wilayah Persekutuan (Jawi) tetapi belum diluluskan tergantung beberapa perkara daripada pihak berkuasa lain.
“Secara spontan kita tanya (dengan isteri pengetua pusat tahfiz yang juga suspek didakwa), dia (pusat tahfiz) dah berdaftar dengan Jawi tetapi Jawi tidak akan luluskan dengan beberapa perkara seperti daripada bomba dan DBKL.
“Jika pusat tahfiz tidak melalui prosedur yang ditetapkan, kalau berlaku sesuatu seperti soal keselamatan dan sebagainya, ini akan membahayakan sekitar 44 orang pelajar tahfiz yang datang dengan niat baik untuk menghafal Al- Quran,” katanya semasa melawat pusat tahfiz itu, hari ini.
Mujahid juga mengaku terkejut apabila diberitahu oleh isteri suspek bahawa kesemua mangsa yang didakwa diliwat dan dicabul pengetua pusat tahfiz itu masih belajar di pusat tahfiz tersebut.
Beliau menegaskan agar ibu bapa untuk selidik dulu latar belakang mana-mana sekolah tahfiz sebelum menghantar anak mereka.
“Saya sarankan agar ibu bapa tengok prestijnya, kurikulum, integrasi dengan sistem perdana, guru mengajar ini siapa barulah boleh dicadangkan untuk letak anak di sekolah tersebut,” ujarnya
Minggu lalu, pengetua pusat tahfiz itu didakwa di Mahkamah Sesyen Putrajaya dengan 11 pertuduhan mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.

Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur Zainuddin Yaacob berkata suspek didakwa hasil laporan seorang guru bersama semua mangsa yang dibuat pada 13 September lalu.
Sehari sebelum kenyataan polis itu, media yang memetik sumber melaporkan seorang pemilik pusat tahfiz di Kepong ditahan selepas disyaki mencabul dan melakukan gangguan seksual ke atas pelajarnya yang berumur seawal 12 tahun.
Semua pelajar terlibat dilaporkan dibawa ke ibu pejabat polis kontinjen Kuala Lumpur untuk diambil keterangan sebelum dihantar ke Hospital Kuala Lumpur untuk pemeriksaaan lanjut.
Kes disiasat oleh Bahagian Siasatan Jenayah Seksual, Penderaan dan Kanak-Kanak (D11), kata polis.
Pemeriksaan doktor juga mengesahkan seorang mangsa yang diliwat mengalami kecederaan usus manakala yang lain berdepan gangguan emosi yang teruk.
Media juga melaporkan mangsa mendakwa dipaksa melancap, mandi bersama dan diraba serta pelbagai perbuatan lain. Mangsa juga mendakwa dibawa oleh suspek ke beberapa hotel di Bukit Bintang dan Chow Kit untuk dicabul.