Sekolah Tahfiz di Johor tidak akan ditutup, kata Exco

Aminolhuda Hassan (dua dari kiri) menyampaikan sijil penghargaan kepada peniaga pasar awam Larkin Sentral di Majlis Sambutan Hari Raya baru-baru ini.

 Cadangan daripada bekas Menteri Penerangan Tan Sri Zainuddin Maidin sebelum ini yang mahukan pusat Tahfiz ditutup terus mendapat reaksi beberapa pimpinan di negara ini.

Exco Hal Ehwal Agama dan Pendidikan Negeri Johor,Aminolhuda Hassan berkata, cadangan itu tidak wajar dilaksanakan kerana ia akan melukakan perasaan orang Islam di negeri ini.

“Kita harus melihat dari skop lain, selain ianya pendidikan bagi umat Islam, Tahfiz juga adalah tempat untuk pendidikan akhlak dan amal kebaikan dalam kehidupan pelajar.

“Cadangan dari bekas menteri itu agak terkebelakang kerana rata-rata mereka yang berjaya hari ini selain dari pendidikan sains tulen, mereka juga terdidik dengan pendidikan sains agama Islam,” tegas beliau ketika ditemui pada satu program Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri di Pasar Awam Larkin Sentral di Johor Bahru.

Selain itu, ketika ditanya berkenaan dengan bantuan Kerajaan Negeri Johor terhadap sekolah Tahfiz ini, beliau menjawab akan ada bantuan yang diberikan dari masa ke semasa.

“Kita akan melihat berapa ramai bilangan guru dan pelajar untuk kita menimbang bagi mengadakan bantuan kepada mereka serta faktor keselamatan yang akan dititik beratkan.

“Selain itu kita akan menaik taraf sekolah Tahfiz ini dari segi pendidikannya agar sekolah tersebut mampu bersaing dengan sekolah yang lain,”  ujarnya.

Beliau juga akan mewujudkan penguat kuasaan berkenaan dengan sekolah Tahfiz yang berada di negeri Johor ini berkaitan dengan keselamatan dan kepentingan pada tahap keselamatan di sekolah tersebut.

CATEGORIES
TAGS