Malaysia Dateline

Sekolah tahfiz ditutup 7 hari

Sebuah sekolah tahfiz di Chenderah di Jasin, terpaksa ditutup tujuh hari akibat jangkitan kes Covid-19 membabitkan pelajar dan guru pusat tersebut.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Antidadah negeri Dr Muhamad Akmal Saleh berkata, mereka yang didapati positif kini sedang menjalani tempoh kuarantin wajib.

Menurutnya, Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Jasin juga sudah melakukan saringan kepada semua pelajar dan staf di sekolah berkenaan.

“Dimaklumkan terdapat beberapa pelajar asrama serta cikgu yang positif Covid-19 dan mereka sudah dihantar ke Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) MITC, Ayer Keroh.

“Semua mereka ini dalam keadaan yang sihat dan hanya mengalami simptom ringan sahaja,” jelasnya.

Dr Muhamad Akmal berkata, terdapat beberapa penambahbaikan perlu dilakukan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) membabitkan prosedur operasi standard (SOP).

“Bagi sekolah berasrama mewajibkan setiap individu yang masuk ke sekolah perlu melakukan ujian RTK yang mengambil masa tidak sampai 10 minit.

“Ujian RTK berkala secara rawak juga perlu untuk mengurangkan risiko jangkitan selain dapat memastikan keselamatan serta kesihatan anak-anak yang belajar terjamin,” ujarnya lagi.