Sekolah tahfiz: Kementerian Pendidikan sedia kerjasama dengan Kerajaan Negeri

Mahdzir Khalid

Kementerian Pendidikan bersedia memberi kerjasama dan berkolaborasi dengan kerajaan negeri berhubung hal ehwal sekolah tahfiz, kata Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid.

Katanya pihaknya terbuka untuk mendengar sebarang pandangan dan cadangan dalam memastikan tragedi kebakaran di pusat tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah, pada Khamis lepas tidak berulang.

“Kalau kita baca laporan media hari ini kita lihat kebanyakan kerajaan negeri telah mula melakukan analisa bagi melihat kembali pengurusan sekolah tahfiz.

“Cuma saya nak tegaskan di sini bahawa sekolah tahfiz ini berada di bawah kerajaan negeri malah dalam Perlembagaan Persekutuan sendiri ada menyebut Sultan dan Raja-raja Melayu yang mengetuai agama Islam dalam negeri masing-masing. Jadi kita perlu ada satu cara kerjasama yang harmoni dan tertib berkaitan hal ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan program berbasikal Fun Ride @Ampang, hari ini.

Beliau mengulas mengenai kebakaran di pusat tahfiz itu yang mengorbankan 21 pelajar dan dua guru yang bertugas sebagai warden.

Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata kerajaan akan mengadakan mesyuarat khas Selasa ini bagi melihat semula aspek keselamatan maahad tahfiz di seluruh negara.

CATEGORIES
TAGS