Malaysia Dateline

Sekolah Tahfiz mampu lahir pelajar cemerlang, kata MB Selangor

Pelajar sekolah tahfiz mampu menjadi pelajar yang cemerlang dan boleh bersaing dengan pelajar sekolah harian sekiranya mereka diberi pendidikan dan silibus pembelajaran bersesuaian.

Menteri Besar Selangor Amirudin Shari berkata ia terbukti apabila sebahagian besar pelajar yang menerima Anugerah Kecemerlangan Pendidikan Yayasan Selangor 2018 hari ini adalah dari Maahad Tahfiz Integrasi Selangor (MITS) dan Sekolah Rendah Agama Integrasi (SRAI)

“Ini menunjukkan bahawa sekiranya diberi pendidikan dan silibus pembelajaran yang betul, mereka boleh bawa pendidikan seperti biasa serta mampu bersaing bersama pelajar akademik lain. Sebahagian besar pelajar tahfiz ini adalah mereka yang menghafal 30 juzuk al-Quran dan turut cemerlang dalam peperiksaan SPM.”

“Di samping cemerlang dengan 10A dan 11A, saya percaya jika maahad tahfiz boleh gabungkan semua elemen pendidikan fizikal dan akademik, ia mampu menjana kecemerlangan dalam kalangan pelajar,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis Anugerah Kecemerlangan Pendidikan Yayasan Selangor 2018 di Kelab Shah Alam, pada Ahad.

Turut hadir, Pemangku Pengurus Besar Yayasan Selangor, Zahura Zakry.

Amirudin berkata kerajaan negeri memperuntukkan sebanyak RM87.64 juta untuk memperkasakan aspek pendidikan dan melaksanakan beberapa program seperti Expo Pendidikan yang akan menghimpunkan hasil penyelidikan institusi pengajian tinggi yang termasuk dalam Gugusan Pendidikan.

Sementara itu, Zahura berkata pencapaian keputusan pelajar yang mendapat tajaan Yayasan Selangor meningkat walaupun berlaku perubahan format peperiksaan setiap tahun.

Katanya bagi pencapaian Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2018, Yayasan Selangor berjaya mencapai Petunjuk Prestasi Utama (KPI) yang ditetapkan yang mana 60.6 peratus pelajar berjaya mencapai keputusan 5A ke atas, meningkat 9.1 peratus daripada tahun 2017

Pada majlis itu, seramai 215 pelajar menerima anugerah kecemerlangan dalam peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), Penilaian Tingakatan 3 (PT3) dan SPM.

Muhammad Irham Shaari dari MITS Kuala Langat menerima Anugerah Pelajar Terbaik SPM Aliran Agama dan Terbaik Keseluruhan manakala Anugerah Guru Penyelaras Terbaik Rancangan Khas Pendidikan Yayasan Selangor diberikan kepada Nur Khasanah Ulfah Mohamad Anuar dari MITS Klang- BERNAMA