Malaysia Dateline

Sekolah tetap dibuka walaupun dilanda banjir lumpur di Kapit

Walaupun dilanda banjir lumpur setebal satu kaki di kawasan dewan makan Sekolah Kebangsaan(SK) Tunoh di Kapit awal pagi tadi, namun ia tidak menjejaskan hari pertama persekolahan di sekolah terbabit.

Menurut Ketua Sektariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN), Mejar (PA) Ismail Mahedin, kejadian banjir lumpur itu berlaku pada kira-kira jam 3 pagi tadi.

Menurutnya, banjir berlaku secara mendadak dengan membawa lumpur yang tebal.

“Semasa kejadian itu, paras air adalah setinggi lebih kurang lima kaki,” ujarnya dalam satu kenyataan di Kuching hari ini.

Beliau menambah, bangunan yang lain bagaimanapun tidak terkena banjir kerana berada di tempat lebih tinggi.

SK Tunoh, mempunyai 105 orang murid, 17 guru dan seramai sembilan orang Anggota Kumpulan Perlaksana (AKP

Sementara itu, hujan berterusan sejak ambang tahun baharu menyebabkan Jalan Kampung Kakas-Kiding, Padawan di Jalan Puncak Borneo, Kuching runtuh pada Rabu.

Ismail berkata kejadian dilaporkan berlaku oleh Ketua Kaum Kampung Kakas Chan Nguwun yang mana runtuhan mula berlaku dari jam 2.30 petang.

Justeru, katanya Jabatan Kerja Raya (JKR) telah mengarahkan syarikat bertanggungjawab untuk mengambil tindakan awal dengan memasang penghadang jalan dan tanda amaran.

“Kerja-kerja pembaikan akan dilaksanakan secepat mungkin,” jelas beliau lagi.

Difahamkan laluan tersebut masih boleh dilalui kenderaan, tetapi orang ramai diminta untuk berhati-hati bagi mengelak sebarang kejadian yang tidak diingini.