Malaysia Dateline

Sekretariat Solidariti Rakyat lancar kempen #Lawan, desak Mahiaddin letak jawatan

Sekretariat Solidariti Rakyat (Black Malaysia) akan melancarkan kempen tanda pagar #LAWAN untuk terus mendesak Perdana Menteri, Tan Sri Mahiaddin Md Yasin meletakkan jawatan.

Menerusi satu kenyataannya berkata, kempen dilancarkan ekoran kegagalan kerajaan mengawal jangkitan kes Covid-19 biarpun selepas hampir tujuh bulan pelaksanaan darurat dan sebulan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan 3.0.

Tegas sekretariat itu, kes jangkitan Covid-19 yang mencecah angka 8,868 kes dengan 135 kematian jelas menunjukkan bahawa kerajaan gagal memimpin negara keluar dari pandemik Covid-19 ini.

“Sejumlah besar rakyat biasa juga telah kehilangan pekerjaan, ini termasuklah hampir 70 peratus daripada kalangan anak seni yang terdiri daripada pelukis, pemuzik dan penggiat industri kreatif juga telah kehilangan semua punca pendapatan.

“Malah ada juga yang terpaksa melakukan dua atau tiga pekerjaan bagi meneruskan kehidupan.

“Tambahan pula, dianggarkan bahawa lebih daripada 7 juta rakyat Malaysia dijangka kehilangan pekerjaan susulan penutupan operasi sektor Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) akibat daripada PKP 3.0 yang dikuatkuasakan dengan cuai dan abai,” katanya.

Pada masa sama Black Malaysia menegaskan, Parlimen yang telah digantung sejak bermulanya darurat telah merencatkan pentadbiran negara dan menghalang penyelesaian segera masalah-masalah rakyat yang kritikal.

Namun begitu katanya, persidangan Parlimen yang akan bermula pada 26 Julai nanti hanya merupakan satu sesi penerangan dan merupakan sebuah langkah politik bagi menjamin kekuasaan dan kelangsungan sebuah kerajaan yang telah gagal.

“Kami menegaskan bahawa pentingnya untuk Perdana Menteri tidak lagi menggantung Parlimen dan menjanjikan sebuah persidangan penuh untuk memberi ruang kepada Ahli Parlimen menyelesaikan isu rakyat dengan segera.

“Negara ini terbina atas prinsip pengasingan kuasa antara cabang Eksekutif, Parlimen dan Kehakiman. Tindakan Perdana Menteri untuk menggantung Parlimen adalah satu penghinaan terhadap roh, semangat dan rakyat tanah air ini,” ujarnya.