Malaysia Dateline

Sekretariat tetap tangani kos sara hidup ditubuhkan

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDNKSH) akan menubuhkan satu sekretariat tetap menangani isu kos sara hidup bagi merangka pelan tindakan komprehensif jangka pendek dan panjang untuk menangani isu yang dihadapi rakyat.

Menterinya Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata sekretariat itu melibatkan kerjasama antara KPDNKSH dan Kementerian Ekonomi yang dipimpin Mohd Rafizi Ramli.

Beliau berkata, langkah utama yang akan dilakukan adalah berkaitan pertukaran data bagi melihat kumpulan fokus dan dasar, seperti pemberian subsidi serta pendidikan yang lebih berfokus kepada pengguna.

“KPDNKSH sedar untuk usaha meningkatkan kos sara hidup ini, kita tidak boleh berkerja bersendirian, kerana isu kos sara hidup adalah agenda nasional.

“Jadi, kita bersetuju mewujudkan sekretariat tetap dua kementerian ini, yang akan pada bila-bila masa mengadakan mesyuarat, pertemuan, libat urus, seminar, bengkel dan seumpamanya supaya dapat bergerak ke depan dengan lebih efisien

“Ini bagi membolehkan kita saling berinteraksi supaya tidak ada salah faham komunikasi antara pihak berkaitan termasuk KPDN dan rakyat dalam kita berusaha tingkatkan taraf hidup mereka,” katanya.

Hal itu diputuskan dalam mesyuarat Salahuddin dan Rafizi sebelumnya bagi membincangkan idea penubuhan sekretariat berkenaan yang akan bakal disertai Ketua Setiausaha (KSU) Kementerian terbabit serta pegawai dari Jabatan Statistik dan Unit Perancang Ekonomi (EPU).

Salahuddin juga memberitahu usaha menangani isu kos sara hidup itu akan diperluas dengan libat urus Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (MAFs), Kementerian Pengangkutan (MOT), Kementerian Pembangunan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dan 11 kementerian yang ada dalam Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL).

“Ini bagi menjayakan rancangan melahirkan satu pelan tindakan strategik untuk menangani kos sara hidup,” katanya.

Baca juga: ‘Tanah air ini untuk semua rakyat Malaysia tapi ada ulama sibuk lagakan Melayu dengan bukan Melayu’