Seksyen 233 Akta 588 perlu elak sebar berita berunsur hasutan

Seksyen 233 Akta 588 perlu elak sebar berita berunsur hasutan

Parti AMANAH Sabah menyatakan kekesalan terhadap sikap kerajaan yang terlalu berlembut dengan penyalahgunaan internet dan media sosial khususnya penyebaran berita berunsur hasutan perkauman dan berita palsu.

“Kami kesal dengan sikap kerajaan yang menggantung penggunaan seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dalam penyiasatan juga pendakwaan atas alasan seksyen ini menzalimi rakyat.

“Keadaan menjadi lebih parah apabila pihak berkuasa tidak mempunyai alternatif lain untuk menggantikan seksyen 233 ini,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut kenyataan itu, masyarakat kini sedang bermaharajalela menyebar berita palsu dan perkauman di talian misalnya, insiden Kuil Sri Maha Mariaman menjadi bukti bagaimana berita palsu serta perkauman telah berjaya membangkit kemarahan penduduk.

Katanya, kerajaan sepatunya mempunyai undang-undang lain yang seumpamanya sebelum menyekat seksyen 233.
“Adakah kerajaan ingin memperjudikan keselamatan dan ketenteraman negara semata-mata ingin mengambil hati pengundi bahawa Kerajaan Pakatan Harapan menunaikan janji manifesto,” katanya.

AMANAH Sabah turut mengingatkan kerajaan bahawa Malaysia terbentuk melalui latar belakang sosial, budaya, dan pegangan agama yang berbeza.

Bahkan katanya, antara faktor perpaduan dan keharmonian dapat dikekalkan ialah melalui undang-undang yang mantap dan penguatkuasaan yang tegas.

“AMANAH Sabah ingin mengingatkan bahawa selepas peristiwa 13 Mei 1969 khususnya, negara kita telah menjadikan kesalahan apa-apa perbuatan yang berupa ancaman terhadap keharmonian dan perpaduan kaum sebagai satu kesalahan yang amat serius.

“Maka terhasillah pelbagai Akta bagi menangani masalah ini. Antara undang-undang yang baik untuk mengekalkan perpaduan dan ketenteraman kaum ialah seksyen 233,”ujarnya.

Bagi AMANAH Sabah seksyen 233 ini bukan digubal untuk tujuan politik tetapi untuk menjadikan penyalahgunaan talian internet seperti menyebarkan komunikasi yang bersifat lucah, tidak senonoh, palsu, mengancam atau jelik dengan niat untuk menyakitkan hati, mendera, mengancam atau mengganggu orang lain sebagai satu kesalahan seterusnya dapat memelihara ketenteraman awam.

Justeru, AMANAH Sabah meminta Kerajaan supaya menghormati keputusan-keputusan Mahkamah Tinggi yang telah mengiktiraf seksyen 233 adalah mengikut perlembagaan.

Kesemua kes berkaitan s.233 seperti Nor PP v Hisham Osman, PP v Syarul Ema Rena, PP v R. Sivarasa , PP v Fahmi Reza telah pun memutuskan bahawa seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 adalah konsisten dengan Perlembagaan Persekutuan dan merupakan undang-undang yang mantap (“good law and settled law”).

AMANAH Sabah menegaskan pendirian Kerajaan bahawa seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 adalah satu seksyen ‘draconian’ dan terbuka kepada salahguna tangkapan, siasatan dan pendakwaan adalah sama sekali tidak tepat.

Di Malaysia, tiada ruang untuk salahguna tangkapan, siasatan dan pendakwaan sedemikian kerana budi bicara untuk mendakwa terletak pada Pendakwa Raya sepertimana termaktub dalam Perkara 145 Perlembagaan Persekutuan.

Kepercayaan perlu diletakkan kepada Pendakwa Raya selaku pemegang amanah untuk menjaga kepentingan rakyat keseluruhan.

Dengan ini AMANAH Sabah secara tegas menyatakan bahawa seksyen 233(1)(a) Akta 588 adalah undang-undang yang sah, yang digubal Parlimen untuk meletakkan beberapa sekatan ke atas kebebasan bersuara dan berekspresi yang dirasakannya perlu dan sesuai demi menjaga kepentingan ketenteraman awam dan moral serta adalah satu tindakan legislatif yang sesuai dengan objektif yang hendak dicapainya.

“Kami khuatir jika tidak dibendung, pastinya akan menyebabkan bahaya yang lebih besar dan akan mengganggu tempoh kehidupan bermasyarakat yang hidup dalam aman dan tenteram.

“Kekacauan inilah yang cuba dibendung seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya.