Malaysia Dateline

apa formula dan pendekatan yang akan di lakukan oleh CEO baru FGV ini

Sektor komoditi harungi badai pada 2018

Sektor komoditi tempatan – minyak sawit mentah (MSM), getah, bijih timah dan emas – terus menghadapi tekanan yang teruk pada 2018, ketika ekonomi global bergelut untuk terus bertahan.

MSM yang merupakan penyumbang kedua terbesar kepada ekonomi negara, menyaksikan penurunan harga kira-kira 20 peratus setakat ini tahun ini berikutan asasnya yang lemah, terutama disebabkan tahap inventorinya menghampiri paras tiga juta tan, seperti yang dilaporkan oleh Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB).

Secara tradisinya, kitaran hayat minyak makan bermula pada setiap tahun dengan tahap pengeluaran yang lebih rendah manakala eksport lebih tinggi disebabkan musim perayaan iaitu Tahun Baru Cina dan Hari Raya Aidilfitri, dengan negara penngguna akan menambah stok simpanan untuk memasak serlain produk makanan.

“Pengeluaran pada umumnya cenderung meningkat pada akhir tahun iaitu pada akhir suku keempat, sejajar pola bermusim,” kata Peniaga Derivatif Phillip Futures Sdn Bhd, David Ng.

Minyak masak lain seperti kacang soya, minyak sesawi dan bunga matahari, turut mengalami corak yang sama, sekali gus menghasilkan inventori yang lebih tinggi bagi MSM Malaysia sedangkan kedudukan permintaannya lebih rendah, dan terus menekan harga untuk mencecah kurang daripada RM2,000 setan pada November, tahap terendah dalam tempoh lima tahun.

Veteran peladangan, M R Chandran yang mengakui hakikat itu berkata pasaran komoditi di seluruh dunia mengalami kemelesetan pada 2018.

“China dan India, pengguna minyak sawit terbesar di dunia, memperlahan pembelian mereka kerana pengeluaran tanaman mereka lebih baik,” katanya.

Sementara itu, MPOB menyatakan bahawa tiga juta tan yang dicatatkan pada November merupakan paras simpanan tertinggi dalam tempoh hampir dua dekad, dan angka itu dijangkakan terus meningkat.

Pada bulan itu, harga MSM juga mengalami kejatuhan terbesar dalam tempoh lebih 21 bulan selepas Indonesia mengumumkan langkah untuk meningkatkan eksport.

Republik itu, yang merupakan pengeluar MSM terbesar dunia, memansuhkan sementara levi eksportnya kepada sifar dalam julat US$20-US$50 setan, bagi meningkatkan eksport minyak sawitnya.

Sebuah syarikat bebas, AmSpec Agri Malaysia, berkata eksport produk minyak sawit tempatan bagi 15 hari pertama Disember turun 4.6 peratus kepada 524,083 tan berbanding 549,488 tan yang dieksport dalam tempoh yang sama pada November.

Sehingga 13 Dis, harga niaga hadapan MSM adalah dalam julat RM1,700 hingga RM2,600 setan pada 2018 berbanding RM2,400 hingga RM2,900 setan yang dicatatkan pada tempoh yang sama pada tahun 2017.

Harga MSM dijangkakan menyederhana kepada RM2,300 setan pada 2019 berbanding RM2,100 tahun ini, berikutan asas yang lebih baik berikutan permintaan yang lebih tinggi di tengah-tengah pengeluaran yang lebih rendah.

“Pada RM2,300 setan, sokongan belian untuk MSM tahun depan dijjangkakan dari Indonesia, yang mempunyai bilangan penduduk seramai 264 juta orang.

“Ini terutama disebabkan mandat kerajaan untuk menggunakan MSM dalam program B20 dalam industri automotif, di samping menggunakan komoditi untuk produk makanan. Penggunaan yang lebih besar akan menyumbangkan kepada permintaan yang lebih tinggi,” kata peniaga.

B20 ialah campuran 20 peratus biodiesel dan 80 peratus diesel petroleum.

Sejak 1 Sept, 2018, semua kenderaan dan jentera berat dengan enjin diesel di republik itu perlu menggunakan bahan api dalam usaha untuk membantu kerajaan menyelamatkan berbilion ringgit dalam import diesel.

Dengan ini, tidak ada keraguan bahawa menjelang 2019, Indonesia boleh menjadi pengguna minyak sawit terbesar di dunia, mengatasi China, sementara India akan mengambil tempat kedua.

“Kita boleh menjangkakan bahawa faktor ini, selain kesan musim tengkujuh pada Disember, akan membantu mengurangkan simpanan dan menaikkan harga,” kata peniaga itu.

Harga juga akan disokong oleh permintaan dari India mulai Januari tahun depan dengan pengurangan duti import ke atas MSM Malaysia kepada 40 peratus daripada 44 peratus, dan 45 peratus daripada 54 peratus ke atas minyak kelapa sawit bertapis pada akhir Disember.

Sementara itu, Kenanga Research menjangkakan pengeluaran Disember susut 6.4 peratus bulan ke bulan kepada 1.73 juta tan metrik, yang merupakan penurunan median bagi Disember 2015-2017

“Secara menyeluruh, kami menjangkakan penawaran sebanyak 1.79 juta tan metrik akan melebihi permintaan sebanyak 1.66 juta tan metrik pada Disember, yang menjurus kepada stok bekalan yang lebih tinggi sebanyak 3.14 juta tan (+4.3 peratus bulan ke bulan), kenaikan bulan ke tujuh  berturut-turut.

“Kami menjangkakan harga MSM pulih kepada RM2,200-RM2,250 setan pada Januari ketika pengeluaran bermusim yang lemah dan permintaan musim perayaan yang lebih tinggi,” katanya.

Dalam perkembangan lain, minyak sawit Malaysia terus terjejas oleh tindakan Kesatuan Eropah (EU) untuk memboikot komoditi itu, dengan mendakwa pengeluaran tanaman telah menyebabkan kemusnahan alam sekitar dan penebangan hutan, termasuk memusnahkan habitat Orang Utan.

Namun, dua pengeluar utama – Malaysia dan Indonesia, yang menyumbang 80 peratus daripada bekalan minyak sawit di dunia, terus bertindak menangani masalah itu.

Yang terbaru ialah kedua-dua negara itu memujuk kerajaan British supaya mengambil tindakan selepas rantaian pasar raya, Iceland, mengumumkan ia mengeluarkan minyak kelapa sawit daripada produk jenamanya sendiri.

Menteri Industri Utama Teresa Kok membidas ‘alasan lemah’ EU untuk mengharamkan komoditi itu kerana Malaysia telah melakukan banyak usaha dari segi pemuliharaan alam sekitar, termasuk melalui program penanaman pokok.

Beliau berkata Malaysia masih mengekalkan lebih daripada 50 peratus hutannya, dan pada Disember 2019, kerajaan akan menjadikan pensijilan minyak sawit Malaysia (MSPO) sebagai mandatori, langkah untuk meningkatkan industri itu kepada standard global.

Ini akan menjadi jenama minyak kelapa sawit Malaysia terus dihasilkan dan selamat, sekali gus  menolak naik harga semasa, dalam usaha untuk membuka lebih banyak pasaran global dan mengubah minda pengguna di EU.

Bagi komoditi lain, sektor getah tempatan juga menghadapi tahun yang mencabar di tengah-tengah harga global yang rendah dan penurunan pengeluaran disebabkan musim hujan.

Peningkatan perang perdagangan antara AS dan China melemahkan prestasi sektor pembuatan, menyebabkan permintaan yang lebih rendah untuk gred Standard Malaysia Getah (SMR), sekali gus melemahkan harga.

Ini memberi kesan kepada kesejahteraan pekebun kecil yang menyumbang 90 peratus daripada pengeluaran getah di negara ini.

Ketua Pengarah Lembaga Getah Malaysia Datuk Dr Zairossani Mohd Nor dilaporkan berkata bahawa Malaysia hanya dapat mengeluarkan kira-kira 750,000 tan metrik, kurang daripada paras kapasitinya kerana terdapat 41 kilang pemprosesan getah dengan kapasiti penghasilan kira-kira 1.5 juta tan setahun.

Dalam menangani isu ini, kerajaan bersetuju menaikkan harga pengaktifan di bawah skim Insentif Pengeluaran Getah (RPI) untuk mengimbangi kerugian penoreh semasa harga getah dunia lemah.

“RPI itu diwujudkan untuk membolehkan penoreh getah mendapat sekurang-kurangnya jumlah standard bagi setiap kilogram hasil,  dan kerajaan akan membayar jumlah perbezaan apabila harga getah merosot.

“Sejak pengenalannya pada September 2015, ini telah dinaikkan dua kali daripada harga awal RM1.75 hingga RM2 dan RM2.20 sekilogram,” katanya.

Daripada RM2.20 sekilogram, Zairossani berkata harga pengaktif RPI akan dinaikkan kepada RM2.50 sekilogram mulai Januari 2019.

Menurut Bursa Getah Malaysia, SMR 20, yang merupakan penanda aras penetapan harga getah negara, diniagakan antara RM6.03 sekilogram dan serendah RM5.11 sekilog untuk tempoh Januari-Oktober 2018.

Sementara itu, beliau berkata Malaysia mengeksport kira-kira 1.1 juta tan produk SMR, bernilai sehingga RM9 bilion setahun.

Malaysia dijangka menemui ahli Majlis Getah Tiga pihak Antarabangsa – Thailand dan Indonesia, untuk mencadangkan skim pengurusan penawaran dengan mengenakan kuota pengeluaran bagi negara pengeluar utama dalam usaha untuk mengurangkan lebihan dan menaikkan harga.

“Harga getah boleh terus tertekan, mencerminkan peningkatan pengeluaran disebabkan oleh keadaan cuaca yang sangat baik di Thailand dan Vietnam, pembekal utama dunia, dan permintaan yang lemah dari China, yang membawa kepada pengumpulan stok yang luar biasa tinggi.

“Saya kira getah akan terus sensitif terhadap perang perdagangan,” kata Ketua Perdagangan Oanda Asia-Pasifik Stephen Innes.

Bagi timah, harga logam di Pasaran Timah Kuala Lumpur (PTKL) berada dalam aliran menurun sejak Januari.

Harga timah turun kepada US$18,450 setan pada November daripada paras tertinggi US$22,105 setan pada Mac, menjejaki  harga logam di  Bursa Logam London.

Seorang peniaga yang berpangkalan di Kuala Lumpur berkata terdapat pemulihan harga timah apabila Kementerian Perdagangan Indonesia melaporkan penurunan eksport timah republik itu.

“Berita itu menaikkan harga timah tempatan kepada US$19,000 setan pada Disember,” katanya, sambil menambah bahawa sepanjang tahun, pasaran terjejas akibat perang perdagangan yang semakin meningkat antara dua ekonomi terbesar dan ekonomi saingan – AS dan China.

Memandangkan China adalah ekonomi yang besar, sebarang perkembangan di republik itu akan menjejaskan bekalan dan permintaan, dan seterusnya harga.

Sebagai balasan Presiden AS Donald Trump mengenakan tarif 10 peratus ke atas barangan China bernilai US$200 bilion dan menaikkannya lagi sebanyak 25 peratus menjelang akhir tahun.

Keputusan untuk menaikkan tarif itu dihentikan pasca mesyuarat G-20 apabila kedua-dua pemimpin, Trump dan Presiden China Xi Jinping, bersetuju untuk menghentikan tarif perdagangan baru selama 90 hari untuk membolehkan perbincangan dijalankan.

Peniaga berkata pasaran akan terus berubah-ubah, menyebabkan perdagangan bertindak berasaskan sentimen dan bukan asas.

“Kami tidak dapat mengunjurkan prospek timah, masih dalam ketidaktentuan (mod) dan peniaga akan mengambil sikap tunggu dan lihat. Namun jika harga naik, melebihi US$19,000 setan, kita mungkin dapat melihat peningkatan harga secara berterusan,” kata peniaga itu.

Pada 2018, permintaan belian ke atas timah adalah dari negara seperti China, Korea Selatan, Jepun, Taiwan, Jerman, Pakistan, Bangladesh dan AS.

Bagi pasaran niaga hadapan emas, logam berharga kini didagangkan pada RM161.02 gram di Bursa Malaysia Derivatif.

Prestasi pasaran tidak menggalakkan tahun ini, selaras dengan harga niaga hadapan yang lebih lemah di Bursa Komoditi  New York (Comex).

Peniaga Phillip Futures Sdn Bhd Leo Goh Boon Hao berkata sentimen lemah terus membelenggu pasaran, diburukkan lagi oleh ketegangan berterusan antara Amerika Syarikat dan China.

“Harga niaga hadapan emas mencatatkan antara US$1,180 dan US$1,300 seauns (tahun ini).

“Di bursa tempatan, harga niaga hadapan emas turun kepada paras terendah dalam tempoh 52 bulan kepada RM155.20 gram pada 16 Ogos 2018, daripada para tertinggi dalam tempoh 52 bulan pada RM170. 90 yang direkodkan pada 15 Jan,” kata Goh.

Harga emas dijangkakan lebih peka terhadap risiko geopolitik pada 2019, serta ketidaktentuan, termasuk kelembapan ekonomi global, perang perdagangan AS-China, kenaikan kadar faedah AS dan ekuiti global yang menurun.

— BERNAMA