Sektor korporat harus laksanakan ketelusan dalam laporan korporat

Sektor korporat harus laksanakan ketelusan dalam laporan korporat

Sektor korporat digesa mengamalkan standard laporan korporat yang tinggi serta melaksanakan ketelusan bagi membina semula tadbir urus yang baik, reputasi antarabangsa serta nama baik global, yang akan memberikan keyakinan kepada pelabur untuk menanam modal di Malaysia.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, berkata ketelusan dalam laporan korporat memberikan keyakinan serta kepercayaan kepada orang ramai di pasaran modal, yang mana akan memacu dinamisme dan daya saing terhadap pasaran modal negara.

“Dalam mempromosikan tadbir urus korporat di sektor swasta, kerajaan juga perlu membuktikan apa yang dikatakan dengan melaksanakan tadbir urus awam kerana kita mahu mengembalikan semula reputasi baik di luar negara bagi memudahkan perniagaan dan pelaburan ke dalam ekonomi kita,” katanya berucap pada Anugerah Laporan Korporat Tahunan Kebangsaan (NACRA 2018).

Lim menyifatkan laporan korporat berada di bawah tekanan sebelum ini.

“Adalah penting untuk kita (sektor awam dan swasta) menghentikan perakaunan kreatif,” katanya.

NACRA 2018 dianjurkan bersama Bursa Malaysia Bhd, Institut Akauntan Malaysia (MIA) dan Institut Akauntan Awam Bertauliah Malaysia (MICPA), bagi mempromosikan kecemerlangan laporan korporat yang menyokong ketelusan.

“Kita juga komited dalam melaksanakan dengan penuh Perakaunan Akruan menjelang 2021, dan kita juga sudah mula menyediakan pendedahan penuh kewangan kerajaan, berbeza dengan pendekatan kerajaan terdahulu yang hanya menyatakan apa yang mereka mahu orang ramai lihat dan tidak mendedahkan keadaan sebenar,” jelas Lim.

Lim juga menekankan bahawa semua pihak, terutama kerajaan, sektor korporat dan badan profesional seperti MIA dan MICPA serta rakyat harus bekerjasama membina semula negara.

“Hanya dengan bekerja bersama, kita dapat menjamin masa depan Malaysia ditadbir urus dengan lebih baik dan lebih adil, inklusif serta mampan,” katanya.

Sementara itu, NACRA 2018 menyaksikan sejumlah 26 anugerah disampaikan kepada pemenang dengan CIMB Group Bhd meraih laporan tahunan paling cemerlang, diikuti oleh Petronas  Gas Bhd dan Telekom Malaysia Bhd.

— BERNAMA