Sektor pembuatan Malaysia jangka pertumbuhan sederhana pada 2019

Sektor pembuatan Malaysia jangka pertumbuhan sederhana pada 2019

Sektor pembuatan menjangka pertumbuhan yang sederhana dan jangkaan yang rendah daripada jualan kepada pekerjaan pada 2019, berikutan Malaysia masih menghadapi cabaran ekonomi global.

Presiden Persekutuan Pengilang-Pengilang Malaysia (FMM) Datuk Soh Thian Lai berkata pertumbuhan pada tahun ini dijangka bergantung kepada pelaburan dan penggunaan sektor swasta.

“Jika terdapat banyak pelaburan dan penggunaan daripada sektor swasta, kami percaya pertumbuhan ekonomi akan terus positif dalam julat 4.5 peratus.

“Kita mempunyai pasaran eksport (berdasarkan kita antara 20 negara dagangan utama) dan mencari lebih banyak akses untuk meningkatkan aktiviti eksport,” katanya pada taklimat media pada Kaji Selidik Keadaan Perniagaan bagi Separuh Kedua 2018 FMM-Malaysia Institute of Economic Research (MIER) di sini hari ini.

Pada 2018, eksport pengeluar naik 6.7 peratus kepada RM998 bilion, didorong oleh penggunaan domestik dan swasta yang lebih tinggi serta tempoh tanpa cukai selama tiga bulan.

Soh berkata berdasarkan keputusan kaji selidik Indeks Keadaan Perniagaan (BCI) FMM-MIER bagi separuh pertama 2019, perniagaan mengambil langkah berhati-hati berikutan belanjawan pembangunan negara belum dilaksanakan sepenuhnya oleh kerajaan, selain faktor luaran seperti perang perdagangan AS-China dan Brexit.

Pengeluar bimbang mengenai perbelanjaan mereka dan kemungkinan deflasi yang dilaporkan susulan penurunan dalam Indeks Harga Pengguna (IHP).

“Mereka turut bimbang mengenai beberapa projek infrastruktur yang besar, termasuk Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang masih belum diputuskan oleh kerajaan. Jika projek besar dilaksanakan, ia akan mempunyai kesan limpahan yang positif kepada ekonomi,” kata Soh.

Bekas Presiden, kini ahli majlis FMM Tan Sri Saw Choo Boon berkata, belanjawan pembangunan bernilai hampir RM45 bilion yang diluluskan oleh Parlimen perlu dilaksanakan secepat mungkin.

“Jika kerajaan dapat memperuntukkan belanjawan pembangunan ini dan menjelaskannya kepada pasaran, saya percaya tahap keyakinan pelabur dan perniagaan, akan terus dipertingkatkan,” katanya.

Sementara itu, mengenai kadar pekerjaan, Soh berkata 20 peratus daripada responden (daripada kaji selidik) merancang untuk mengambil lebih ramai pekerja disebabkan kapasiti mereka untuk meningkatkan penggunaan, dan jangkaan eksport yang lebih kukuh.

Antara segmen yang dijangka mengambil lebih ramai pekerja ialah logistik pergudangan, eletkrik dan elektronik, produk getah dan makanan halal.

Soh berkata isu lain yang terus menjadi kebimbangan kepada pengeluar ialah pelaksanaan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST 2.0) dan bayaran balik Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST).

“Masih kurang jelas mengenai prosedur permohonan untuk pengecualian dan isu-isu teknikal lain yang perlu kami berbincang dengan Jabatan Kastam.

“Selain itu, kos untuk menjalankan perniagaan oleh kebanyakan responden, naik sehingga 10 peratus,” katanya.

Soh berkata FMM berharap Menteri Kewangan Lim Guan Eng (kerajaan) akan menunaikan janji untuk mempercepatkan tuntutan bayaran balik GST sebelum akhir tahun berikutan ia penting kepada perusahaan kecil dan sederhana untuk mempunyai mudah tunai kewangan, selain membolehkan mereka berkembang dan bersaing.

— BERNAMA