Malaysia Dateline

Sektor pengeluaran makanan negara sangat kritikal

Sektor pengeluaran makanan negara memang berada dalam keadaan yang sangat kritikal sekarang ini.

Saya melihat masalahnya sangat sistemik dan berakar umbi sekian lama. Memang ada banyak perancangan dan inisiatif baru yang diusahakan oleh pelbagai pihak untuk keluar dari kitaran buruk ini, baik dari pihak kerajaan mahupun swasta.

Namun, ianya rumit dan memakan masa. Ia bukan sahaja memerlukan kepintaran, tetapi juga keberanian. Kita ada ramai orang yang pintar dalam sektor ini, tetapi tidak ramai yang berani.

Para penggubal polisi dan penguatkuasa dalam sektor ini berhadapan dengan terlalu banyak ancaman dan kekangan.

Pun begitu China, Thailand, dan Indonesia berjaya menunjukkan kemajuan yang pesat dalam sektor ini. Tidak ada sebab untuk Malaysia tidak berjaya.

Pada tahun 1950-an dan 1960-an dulu, China berhadapan dengan kebuluran yang menyebabkan kematian jutaan rakyat China. Puncanya ialah kerana sektor pengeluaran makanan di negara tersebut gagal menghasilkan makanan yang cukup.

Selepas itu, China mula mengambil langkah drastik memajukan sektor pengeluaran makanan. Mereka bermula dengan pendekatan sains bagi memodenkan bidang pertanian China.

Selain itu, mereka juga merubah amalan pertanian dari pekebun-pekebun kecil yang bergantung kepada subsidi kerajaan kepada ladang moden berskala besar yang diurus secara komersial sepenuhnya.

Hari ini, China bukan sahaja mampu membekalkan keperluan makanan untuk rakyat tempatan, malah menjadi pengekspot utama makanan ke seluruh dunia.