Malaysia Dateline

Sektor perkilangan penyumbang terbesar kes positif di Selangor, kata KKM

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Selangor Datuk Indera Dr Sha’ari Ngadiman menegaskan sektor perkilangan adalah penyumbang terbesar wujudnya kluster di Selangor.

Dalam sidang media Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) hari ini beliau turut menjelaskan tiada satu pun kluster di Selangor berpunca daripada sambutan perayaan.

Namun, katanya, peningkatan kes hasil saringan terkait kluster ini adalah disebabkan oleh saringan berkaitan kluster-kluster tempat kerja, dan bukannya dari kluster yang terkait dengan perayaan Hari Raya Aidiladha.

“Tiada kluster yang berkaitan perayaan Hari Raya Aidiladha yang dilaporkan di daerah-daerah di Selangor.

“Tren peningkatan kes di Selangor sebenarnya telah pun dilihat sejak sebelum bermulanya perayaan Hari Raya Aidiladha .

“Dan tren peningkatan ini dilihat selaras dengan meningkatnya jumlah saringan yang dijalankan di negeri Selangor,” katanya.

Antara punca berlakunya peningkatan saringan di Selangor adalah kerana terdapatnya kesedaran yang meluas dalam kalangan orang awam di Selangor untuk segera melakukan ujian, terutamanya di fasiliti-fasiliti swasta (85% ujian saringan harian yang dijalankan di Selangor adalah dilakukan di fasiliti swasta).

Tegasnya tiada kluster yang dilaporkan berkaitan dengan perayaan Hari Raya Aidiladha selapas tarikh 20 Julai sehingga kini.

“Pola saringan di Negeri Selangor masih sama walaupun telah menyarankan agar kes-kes kontak rapat yang tidak bergejala tidak perlu dibuat ujian covid-19.

“Walaubagaimanapun penduduk Selangor masih membuat ujian covid -19 di fasiliti swasta, dimana 60-70% adalah
kes-kes positif yang tidak bergejala,” kata beliau.

Oleh yang demikian, katanya, adalah sukar untuk mengaitkan perayaan Hari Raya Aidiladha dengan peningkatan kes di Selangor, tetapi lebih kepada jangkiti dalam komuniti yang telah pun meluas sejak sebelum perayaan tersebut.

Negeri Selangor setiap hari mencatat kes positif tertinggi berbanding negeri-negeri lain.

Walaupun kerajaan telah melaksanakan PKP 3.0 kes positif negeri Selangor tidak menunjukkan pengurangan kerana kilang-kilang masih dibenarkan beroperasi.

Dalam keadaan kekangan ini kerajaan negeri terus berusaha bagi memutuskan rantaian pandemik dengan melakukan saringan secara terbuka di kesemua DUN.