Sektor perladangan dijangka kembali positif pada suku pertama 2019

Sektor perladangan dijangka kembali positif pada suku pertama 2019

Sektor perladangan dijangkakan kembali positif pada suku pertama tahun ini (1Q19) berdasarkan petunjuk pemulihan ketara harga minyak sawit mentah (MSM) .

Kenanga Research dalam notanya hari ini berkata harga dijangkakan meningkat kepada RM2,300-RM2,400 tan metrik (MT) menjelang suku pertama dan meningkat kepada RM2,500-RM2,600 MT pada suku kedua.

“Stok simpanan tempatan dan di Indonesia, dijangkakan merosot pada beberapa bulan akan datang berikutan pengurangan pengeluaran bermusim. Bagi permintaan, kami yakin angka untuk India akan meningkat susulan penurunan duti import daripada 44 peratus kepada 40 peratus, berkuat kuasa 1 Jan, 2019,” katanya.

Nota itu juga menyebut China sudah kembali membeli minyak kacang soya pada skala besar dari Amerika Syarikat, yang meningkatkan harga minyak kacang soya (SBO) serta harga MSM, berdasarkan hubungan rapat komoditi terbabit.

“Selepas bersetuju terhadap perdamaian perdagangan selama 90 hari pada 1 Dis, 2018, China memulihan pembelian kacang soya US dalam jumlah yang besar, memberi isyarat jelas dalam mengurangkan ketegangan antara kedua-dua negara. Ini baik untuk harga SBO US dengan bekalan kacang soya yang rendah mengurangkan aktiviti penghasilan minyak, sekali gus mengurangkan SBO dalam negara,” katanya.

Sejak perdamaian perdagangan itu, harga SBO meningkat 5 peratus.

“Ini memberi sedikit sokongan kepada harga MSM dalam jangka terdekat berdasarkan kedua-dua komoditi itu merupakan pengganti terdekat dan harga saling berkaitan,” kata Kenanga.

Kenanga juga berkata pelanjutan mandat campuran 20 peratus biodiesel oleh Indonesia terhadap obligasi bukan sektor awam yang bermula pada 1 Sept 2018, telah mencapai 97 peratus objektifnya pada November.

“Kerajaan Indonesia kini beralih untuk mengkaji kemungkinan B30. Indonesia juga baru-baru ini menandatangani Perjanjian Perkongsian Ekonomi Komprehensif dengan Persatuan Perdagangan Bebas Eropah yang memberikan akses pasaran yang lebih mudah ke atas minyak sawit Indonesia ke Norway dan Switzerland.

“Memandangkan Indonesia mula memberi fokus untuk memenuhi permintaan yang baru diwujudkan, itu, ia mungkin dapat mewujudkan peluang bagi penanam Malaysia untuk mengisi jurang dalam pasaran eksport lain,” katanya.

Kenanga mengunjurkan MSM 2019 akan mencatat harga purata RM2,400 setan, atau peningkatan sebanyak tujuh peratus tahun ke tahun.

“Oleh itu, kami percaya masa strategik untuk mengumpul saham dalam sektor perladangan ialah pada awal Mac, dengan tumpuan kepada penggiat huluan,” katanya.

Pada penutupan semalam, harga MSM bagi Mac 2019 mencatatkan RM2,161 MT.

— BERNAMA